Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UUM, Profesor Dr Shahimi Mohtar (kiri) dan Pengarah International Acedemic Partnerships MBS, Xavier Rajot di Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) UUM-MBS di Balai Tamu UUM, kredit foto ; UUM
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UUM, Profesor Dr Shahimi Mohtar (kiri) dan Pengarah International Acedemic Partnerships MBS, Xavier Rajot di Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) UUM-MBS di Balai Tamu UUM, kredit foto ; UUM

UUM laksana program dwi ijazah bersama institut pendidikan tinggi Perancis

FIRDAUS HANAFI MOHD ZAIN
29 Mar 2023 12:52pm
A
A
A

Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menjalinkan kerjasama bersama Montpellier Business School (MBS) dari Perancis dalam usaha melaksanakan program Dwi Ijazah antara dua institut pendidikan tinggi (IPT) tersebut.

Antara objektif utama UUM dan MBS menerusi kerjasama itu adalah untuk mewujudkan struktur program pertukaran pelajar kukuh di peringkat pengajian sarjana muda yang mampu menyumbang kepada pembangunan secara menyeluruh kepada pelajar.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UUM, Profesor Dr Shahimi Mohtar, graduan mampu meningkatkan lagi kebolehpasaran mereka dengan memiliki dua ijazah daripada universiti tempatan dan antarabangsa.

Jelas Shahimi, pelaksanaan program dwi ijazah tersebut juga dilihat memberi nilai tambah kepada pelajar dari segi pengiktirafan di samping meningkatkan lagi kualiti program pengajian ijazah sarjana muda yang disediakan di UUM serta MBS.

“Graduan yang dihasilkan ini boleh memenuhi keperluan tenaga kerja yang meliputi bukan sahaja di peringkat tempatan malahan juga global.

“Secara umumnya penglibatan pelajar dengan program dwi ijazah ini mampu menawarkan pelbagai peluang yang akan memanfaatkan mereka dalam urusan hala tuju kerjaya mereka pada masa depan.

“Dengan mengambil kesempatan peluang yang disediakan ini graduan juga boleh memperluaskan lagi rangkaian profesional mereka sambil turut belajar daripada pemimpin-pemimpin yang ada dalam industri serta meningkatkan lagi prospek pekerjaan mereka,” ujarnya pada c Sintok, Kedah, baru-baru ini.

Dalam majlis tersebut UUM diwakili Shahimi manakala MBS diwakili Pengarah International Acedemic Partnerships MBS, Xavier Rajot.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, menurut Xavier, kerjasama antara pihaknya bersama UUM merupakan sesuatu yang disifatkan sebagai sangat penting serta dianggap sebagai satu simbolik dan pencapaian bagi kedua-dua pihak yang membantu mencapai matlamat bersama.

Jelas Xavier, menerusi MoA yang telah ditandatangi tersebut UUM akan menawarkan program Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan Antarabangsa ( Bachelor of International Business Management- BIBM) sementara MBS menawarkan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan Antarabangsa ( Bachelor of International Business Administration - BIBA).

“MBS gembira dengan kolaborasi yang terhasil ini serta bersedia untuk berkongsi aspirasi yang ada bersama UUM dalam usaha melebarkan lagi kerjasama bersifat akademik bagi dimanfaatkan kedua-dua pihak pada masa depan,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok