150 murid Tahap 2 ikuti Program Pemerkasaan Sahsiah Pelajar dan Eksplorasi Sains

ROSHLAWATY MD RAIEH
22 Feb 2023 09:22am
A
A
A

Sains merupakan salah satu mata pelajaran yang menarik dan mudah dipelajari sekiranya murid menggunakan teknik yang betul.

Teknik seperti sentiasa membuat ulang kaji, belajar sains setiap minggu dan menganalisis soalan tahun lepas mampu membantu murid skor A dalam subjek tersebut.

Selain itu, menghadiri program berkaitan sains juga dapat membantu murid memperoleh ilmu dalam bidang berkenaan sekali gus menyukai mata pelajaran tersebut.

Program Pemerkasaan Sahsiah Pelajar dan Eksplorasi Sains yang diadakan pertengahan Februari lalu dilihat sebagai program yang dapat membantu peserta meminati subjek sains.

Pemerkasaan Sahsiah Pelajar dan Eksplorasi Sains yang disertai tiga buah sekolah rendah di daerah Chenor, Pahang, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Bota, SK Bukit Lada dan SK Sekara telah berjaya menarik 150 murid Tahap Dua mengikuti program yang diadakan di SK Bukit Bota.

Selain menarik minat dan memberi kesedaran tentang kepentingan sains, program anjuran Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan SK Bukit Bota itu juga bertujuan meningkatkan kualiti pendidikan dan kemahiran murid sekolah rendah yang berkonsepkan ‘belajar sambil bermain’.

Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar UPM, Profesor Madya Dr Omrah Hassan @ Hussin berkata, Pemerkasaan Sahsiah Pelajar dan Eksplorasi Sains dikendalikan 24 ahli Kelab Pembangunan Insaniah (INSAN) UPM yang merupakan mahasiswa universiti itu.

“Mereka telah melaksanakan pelbagai aktiviti dan permainan berbentuk eksperimen sains, antaranya Egg Parachute, Miracle Star, Explorace dan Roket Ke Hati.

Artikel Berkaitan:

“Menerusi aktiviti sebegini, secara tidak langsung ia boleh dijadikan platform menambahkan pengetahuan dan kemahiran kepada penciptaan pelbagai inovasi dalam bidang sains kelak,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Maran, Mohd Ariffin Ab Rahman menzahirkan penghargaan kepada UPM dan pihak sekolah atas inisiatif mereka dalam membantu meningkatkan kecemerlangan akademik dan sahsiah murid sekali gus memperkasa minat mereka dalam pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok