Muhamad Faris gigih ulang kaji di PPS demi SPM
Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetap gigih mengulang kaji pelajaran biarpun terpaksa berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman ditenggelami banjir.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Laksamana, Kota Tinggi, Johor, Muhamad Faris Muhamad Fahmi, 18, menganggap situasi itu sebagai cabaran untuk dia terus berusaha supaya lebih berjaya.
"Ulang kaji di sini kurang selesa kerana panas namun tidaklah mengganggu tumpuan untuk belajar. Harap saya dan keluarga dapat balik secepat mungkin sebelum SPM bermula (30 Januari).
"Semasa ujian lisan SPM sebelum ini, saya menaiki trak tentera dari PPS untuk ke sekolah," katanya ketika ditemui pemberita di PPS, Dewan Serbaguna Kota Kecil, Kota Tinggi, Johor, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, anak sulung daripada empat beradik itu berkata, dia dan keluarganya berpindah ke PPS tersebut selepas rumah di Taman Ria dinaiki air, Ahad.
Dia bersyukur kerana buku teks, buku latihan dan buku tulis selain kelengkapan termasuk pakaian sekolah dapat diselamatkan sejurus selepas melihat air (banjir) mula naik.