Murid Tahun Enam SK Pasukan Polis Hutan yang menyertai lawatan sambil belajar ke Melaka baru-baru ini.
Murid Tahun Enam SK Pasukan Polis Hutan yang menyertai lawatan sambil belajar ke Melaka baru-baru ini.

40 murid SK Pasukan Polis Hutan sertai lawatan sambil belajar ke Melaka

ROSHLAWATY MD RAIEH
24 Feb 2023 07:30pm
A
A
A

Program lawatan sambil belajar banyak memberi manfaat kepada peserta yang menyertainya.

Selain berpeluang melawat lokasi menarik, para peserta dapat menambah dan meningkatkan ilmu pengetahuan masing-masing.

Di samping itu, lawatan sambil belajar juga membolehkan guru menerapkan nilai-nilai murni dalam kalangan murid.

Antara nilai-nilai murni yang boleh diterapkan oleh guru adalah mematuhi peraturan, menepati masa, bekerjasama, bantu membantu dan berdikari.

Guru Tahun Enam, Sekolah Kebangsaan (SK) Pasukan Polis Hutan, Ulu Kinta, Perak, Ustaz Quszaini Abd Manan berpandangan, lawatan bermaklumat sebegini sangat bagus kerana ia membantu peserta menghayati dan memahami latar belakang dan sejarah sesuatu tempat dengan lebih mendalam seperti lawatan ke Tugu Negara, Makam Mahsuri dan Perigi Hang Tuah.

Katanya lagi, lawatan ke perkampungan Orang Asli atau ke perkampungan etnik-etnik di Sabah dan Sarawak pula dapat mendedahkan murid dengan cara kehidupan seharian dan kebudayaan mereka yang berbeza dengan masyarakat di kota.

Menyedari peri pentingnya lawatan sambil belajar itu, seramai 40 murid Tahun Enam SK Pasukan Polis Hutan yang terdiri daripada murid Melayu, Bidayuh dan Melanau telah menyertai lawatan dua hari satu malam ke Melaka, baru-baru ini.

Empat guru iaitu Ustaz Mohd Yuzrim Yahya, Siti Nor Jannah Mohamad, Faridah Mohd Arif dan Ustaz Quszaini ditugaskan menjadi guru pengiring bagi lawatan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Menurut Ustaz Quszaini, lawatan bertujuan menimba ilmu pengetahuan dan menambahkan pengalaman baharu dalam kalangan peserta selain menikmati keindahan semula jadi di negara kita.

Ia juga berobjektif melahirkan generasi berkualiti dan mempunyai kriteria positif sebagai pemangkin dalam menjana kecemerlangan masa hadapan.

Ujar Ustaz Quszaini lagi, beberapa lokasi menarik telah dikunjungi mereka iaitu Taman Mini Asean, Menara Taming Sari, Muzium Samudera, Ocenarium, Zoo Melaka dan Melaka River Park and Cruise.

Sambungnya, barisan guru pengiring bertanggungjawab menceritakan secara ringkas latar belakang setiap destinasi yang dilawati.

Dalam pada itu, salah seorang peserta, Siti Batrisyia Jusmine Amrie berkongsi sedikit pengalamannya sepanjang mengikuti lawatan sambil belajar ke Melaka.

Katanya, dia sangat gembira kerana diberi peluang mengunjungi tempat-tempat menarik di negeri yang terkenal dengan keunikan sejarahnya.

Malah ujarnya lagi, hubungan bersama rakan-rakan makin erat menerusi lawatan yang diikutinya itu.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok