Cikgu Siti Labibah dedah kejayaan SK Kanchong Darat tersenarai Anugerah Sekolah Terbaik Dunia 2023

AZLEENDA SAHALUDIN
16 Jun 2023 04:53pm
A
A
A

Susulan pencalonan kelompok 10 teratas bagi Anugerah Sekolah Terbaik Dunia 2023 (World’s Best School Prizes 2023), Sinar Bestari berjaya hubungi Penyelaras Projek World's Best School Prizes pasukan Sekolah Kebangsaan (SK) Kanchong Darat, Selangor serta Pengerusi Teknik Lompat Tali Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor, Cikgu Siti Labibah Mohd Khailani.

SK Kanchong Darat antara dua sekolah di Malaysia yang tersenarai dalam anugerah berkenaan bagi kategori Gaya Hidup Sihat.

Cikgu Siti Labihah
Cikgu Siti Labihah

Menurut Cikgu Siti Labibah, perasaan gembira dan bangga tidak dapat dizahirkan dengan kata-kata apabila program yang pada awalnya dibuat bagi menarik minat murid untuk hadir ke sekolah akhirnya dipertandingkan di pertingkat antarabangsa.

“Selepas pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kebanyakan murid masih tidak berminat mahu hadir ke sekolah disebabkan sudah terbiasa dengan keadaan di rumah semasa cuti.

“Jadi dalam usaha menarik minat mereka, sekolah mengambil pendekatan mengadakan program Minda Hebat, Warga Sihat yang bukan sahaja memberi galakan kehadiran murid tetapi turut meningkatkan kesihatan fizikal dan emosi,” ujarnya.

Jelas Cikgu Siti Labibah lagi, penganjuran program sebegini menumpukan kesejahteraan fizikal, emosi dan rohani murid serta warga sekolah lebih-lebih lagi melalui aktiviti lompat tali yang diadakan pada waktu rehat.

Malah, dengan aktiviti tersebut termasuk menaik taraf persekitaran fizikal dan menganjurkan beberapa ceramah kesihatan serta pemeriksaan, sekolah berjaya mencapai penurunan 18 peratus kadar obesiti selain juga meningkatkan kehadiran murid ke sekolah.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya lagi, dengan membudayakan sukan lompat tali di sekolah telah mendorong kepada pencapaian cemerlang murid-murid sekolah berkenaan apabila turut tersenarai dalam ranking 15 terbaik Asia dalam beberapa kategori yang disertai.

Tidak cukup dengan itu, SK Kanchong Darat juga dilihat sebagai penggerak sukan ini di peringkat negeri apabila kerjasama baik bersama JPN Selangor dan Persatuan Lompat Tali Negeri Selangor dalam pengendalian pertandingan dan kursus kejurulatihan.

Selain mendapat Anugerah Sekolah Terbaik Keseluruhan dalam pertandingan lompat peringkat negeri, sekolah ini turut dinobatkan sebagai Sekolah Cemerlang Sukan 2022 oleh JPN Selangor.

Sinar Bestari turut menghubungi Guru Besar sekolah terbabit bagi mendapatkan komen tentang pencapaian cemerlang sekolah.

Cikgu Rozanah Abd Razak berkata, sesungguhnya pencapaian membanggakan itu adalah hasil usaha dan kerja kuat murid dan warga sekolah.

“Alhamdulillah, syukur kepada ALLAH yang telah mengizinkan pencapaian 10 terbaik di dunia.

“Murid-murid adalah pendorong utama guru-guru dalam kejayaan ini. Pelbagai program telah dilaksana demi memastikan murid gembira, selamat dan sayang untuk berada dalam sekolah,” tuturnya.

Sinar Bestari juga ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada SK Kanchong Darat di atas pencalonan 10 terbaik bagi Anugerah Sekolah Terbaik Dunia 2023 yang akan menerima sebahagian daripada sumbangan bernilai US$250,000 (kira-kira RM1.15 juta) untuk mengembangkan dan mempertingkatkan lagi projek pendidikan mereka.

SK Kanchong Darat antara dua sekolah dari Malaysia yang tersenarai 10 teratas bagi Anugerah Sekolah Terbaik Dunia 2023 (World’s Best School Prizes 2023),
SK Kanchong Darat antara dua sekolah dari Malaysia yang tersenarai 10 teratas bagi Anugerah Sekolah Terbaik Dunia 2023 (World’s Best School Prizes 2023),

Semoga usaha keras dan pencapaian sekolah ini dapat dijadikan contoh buat sekolah-sekolah lain dalam memastikan murid tidak hanya cemerlang dalam pendidikan tetapi juga melahirkan lebih ramai murid yang sihat mental dan fizikal.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok