Desigining Your Future dedah 18 murid dengan ilmu robotik, TVET dan STEM
Seramai 18 murid Tahap Dua dari Sekolah Kebangsaan (SK) Ladang Sagil, Tangkak, Johor mengikuti program yang memberi pendedahan tentang ilmu robotik, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) di sekolah itu baru-baru ini.
Program dikenali projek Desigining Your Future yang dianjurkan SK Ladang Sagil dengan kerjasama Unit Pembelajaran Sepanjang Hayat, Kolej Komuniti Ledang, Tangkak, Johor turut dihadiri kelompok ibu bapa dan penjaga yang ingin mendapatkan informasi terkini mengenai robotik, TVET dan STEM.
Menurut Guru Besar SK Ladang Sagil, S Kanthansamy, pelaksanaan program bertujuan meningkatkan kemampuan pemikiran kritis, mengembangkan ketrampilan kreatif dan analitik dalam kalangan murid di sekolah terbabit.
Tambah beliau, pada masa yang sama ia juga berobjektif berkongsi peralatan dan kepakaran dalam bidang robotik antara guru dan pensyarah Kolej Komuniti Ledang kepada kumpulan anak-anak didik.
“Pelbagai aktiviti telah diadakan sepanjang projek Desigining Your Future berlangsung antaranya pertandingan pembinaan replika robot; sesi maklum balas bersama ibu bapa dan penjaga serta majlis menandatangani Nota Kolaborasi antara pihak sekolah dan Kolej Komuniti Ledang.
“Majlis menandatangani Nota Kolaborasi berkenaan melibatkan saya selaku wakil sekolah bersama Pengarah Kolej Komuniti Ledang, Mohd Hoirie Abdul Manah.
“Hadir sama adalah Pengerusi Kelab Bell Belia Tamil Daerah Tangkak, Johor, Dr Aritharan Paniselvam dan Ketua Unit Pembelajaran Sepanjang Hayat, Kolej Komuniti Ledang, Ridzuan Aris,” ujarnya.
Akhir sekali, Cikgu S Kanthansamy berharap SK Ladang Sagil dapat menjadi sebuah sekolah digital yang mampu memberi ilmu kemahiran asas robotik, TVET dan STEM kepada murid-murid luar bandar agar mereka tidak ketinggalan daripada dunia pendigitalan termasuklah Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).