SK Sagil Kampong juara Floorball Peringkat Kebangsaan 2023

AZLEENDA SAHALUDIN
12 Dec 2023 04:55pm
A
A
A

Usaha keras pasukan Floorball Sekolah Kebangsaan (SK) Sagil Kampong, Johor membuahkan hasil lumayan apabila dinobatkan menjuarai kategori perempuan bawah 12 tahun dan naib johan kategori lelaki bawah 12 tahun dalam Kejohanan Floorball Sekolah-Sekolah Malaysia Peringkat Kebangsaan 2023.

Guru Besarnya, Muhammad Hafifi Radzuwan mengakui sangat gembira dan bangga dengan pencapaian murid-muridnya yang bertungkus-lumus sepanjang latihan sehingga mengangkat nama baik sekolah ke pentas lebih tinggi.

“Alhamdulillah, saya amat bangga dengan murid-murid yang terlibat dalam sukan ini. Ia menunjukkan bahawa mereka juga mampu membawa pulang kejayaan yang membanggakan buat sekolah.

“Selaku Guru Besar, saya sangat seronok kerana sukan ini membantu meningkatkan pencapaian murid lebih-lebih lagi dari aspek kokurikulum,” katanya ketika dihubungi Sinar Bestari.

Lebih menarik lagi, buat pertama kalinya sekolah itu memperoleh pencapaian tertinggi iaitu ke peringkat kebangsaan yang diwakili seramai 40 orang murid.

Lagi mengharukan apabila pasukan Floorball sekolah itu disambut kepulangan mereka oleh pasukan kompang Kampung Sagil yang turut berbangga dengan pencapaian tersebut.

“Tahniah kepada semua guru dan anak-anak Permata Sagil. Kalian telah menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi sehingga berjaya capai ke tahap ini.

“Terima kasih juga kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan semua pihak yang telah memberi sumbangan serta sokongan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok