
Dua beradik cilik ukir nama dalam dunia pingpong
Dari langkah kecil dengan mengikuti bapa ke pusat latihan pingpong, dua beradik cilik kini menjadi bintang yang bersinar dalam arena sukan negara.
Walaupun Habib Adrian Muhamad Suhaidin Azhar baru berusia 10 tahun dan adiknya, Raden Zharif, 9, kemahiran di gelanggang pingpong jauh mengatasi usia mereka.
Lebih membanggakan, Habib Adrian mengukir nama di pentas antarabangsa dengan menduduki ranking ke-21 dunia bagi kategori bawah 11 tahun pada tahun ini dan bergelar pemain nombor satu kebangsaan bagi kategori sama.
Adiknya Raden Zharif tidak kurang hebatnya apabila turut memegang gelaran pemain nombor satu negara bagi kategori bawah sembilan tahun.

Bapa mereka, Muhamad Suhaidin Azhar Bidin@Jamaludin, 37, yang memiliki pusat latihan pingpong berkata, beliau tidak menyangka minat kedua-dua anak lelakinya itu akan menjadi serius, kerana pada mulanya mereka hanya mengikuti beliau ke pusat latihan sekadar mengisi masa lapang.
"Ketika mereka masih bayi, sambil saya melatih pemain lain, saya bawa mereka berdua ke pusat latihan pingpong. Pada fasa ini, tumpuan hanya lebih membina rasa seronok dan koordinasi asas seperti belajar menyentuh bola, memukul belon dan mengawal pergerakan tangan serta mata.
"Apabila masing-masing memasuki umur dua tahun, barulah saya beri mereka pukul bola untuk timbulkan minat. Mereka suka bermain telefon tetapi sebagai ibu bapa, saya corakkan arah mereka. Jadi, selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya bawa menonton pertandingan dan beri ganjaran kecil setiap kali berlatih supaya minat dan seronok itu kekal," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Menyedari potensi besar kedua-dua anaknya terutama Habib Adrian yang menunjukkan kemahiran seakan pemain profesional, Muhamad Suhaidin Azhar berkata, beliau mula melatih mereka dengan lebih serius melalui jadual latihan yang teratur dan disiplin tinggi.
Selain dilatih oleh bapa mereka, kedua-duanya juga dibimbing lima jurulatih luar termasuk bekas pemain kebangsaan, bagi mempelajari pelbagai teknik dan strategi.
Muhamad Suhaidin Azhar berkata, latihan intensif kira-kira enam jam sehari atau 30 hingga 42 jam seminggu itu merangkumi teknik pukulan, kawalan bola dan juga kecergasan fizikal.
"Kalau mahu bersaing di peringkat dunia, kita tidak boleh sekadar berlatih mengikut standard biasa di sini. Kita perlu ikut cara seperti Jepun dan China dengan disiplin yang tinggi, latihan konsisten dan pendedahan berterusan di peringkat antarabangsa.
"Habib Adrian pernah buktikan dia berjaya menewaskan pemain dari Korea dan Jepun. Jadi, kalau kita tidak cuba dari sekarang, mungkin peluang itu tidak akan datang lagi…sebab itu setiap hari saya akan pastikan ada sasaran dan pelan latihan yang jelas, sama seperti pemain profesional," katanya.

Justeru, beliau komited memastikan kedua-dua anaknya menjalani latihan berterusan selain menyertai kejohanan di luar negara yang memerlukan peruntukan kira-kira RM200,000 setahun meliputi kos latihan, peralatan serta perbelanjaan untuk kejohanan.
"Jumlah itu memang besar, tetapi ia pelaburan penting untuk membolehkan mereka bersaing dengan pemain terbaik dunia. Setakat ini, sebahagian besar kos ditanggung sendiri dan ada juga bantuan daripada pihak tertentu, namun masih belum mencukupi," katanya.
Bercerita lanjut, Muhamad Suhaidin Azhar berkata, beliau menyasarkan Habib Adrian berada di kedudukan antara lima terbaik dunia dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang, sementara si adik menembusi kelompok 10 terbaik, bagi kategori usia masing-masing.
Sementara itu, ibu mereka, Nurliyana Hazlin Hassan, 36, berkata, walaupun kedua-dua anaknya aktif bersukan, persekolahan mereka tidak terabai dan pendidikan tetap menjadi keutamaan keluarga.