Hias kelas bertemakan Marvel, suntik semangat murid hadir ke sekolah

AZLEENDA SAHALUDIN
31 Mar 2023 03:43pm
A
A
A

Sejak pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka pada 19 Mac lalu telah memperlihatkan ramai guru mula mengambil bahagian menghias kelas sebagai persediaan menyambut kedatangan murid baharu.

Ini kerana hiasan kelas yang menarik selain persekitaran kondusif akan memberi impak positif dalam suasana pembelajaran.

Bukan itu sahaja, ia juga mampu menyuntik semangat murid-murid untuk kembali dan hadir ke sekolah setelah sekian lama menjalani proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menjengah ke aplikasi TikTok, Sinar Bestari tertarik dengan perkongsian seorang guru yang bertungkung-lumus menghias kelas bagi menarik minat muridnya hadir ke sekolah.

Lebih menarik lagi, hiasan bertemakan adiwira Marvel itu dibuat di sekolah yang kesemua muridnya adalah perempuan.

Cikgu Hanif
Cikgu Hanif

Menurut Cikgu Hanif Nor Azahar, idea menghias bilik darjah berkonsepkan Marvel tercetus apabila melihat rata-rata muridnya sering berasa rendah diri, tidak ada keyakinan dan berani serta malu menonjolkan diri.

Kata beliau, inisiatif ini diambil bagi menyuntik semangat murid-muridnya untuk sentiasa bersemangat dan berani mengambil risiko selain bersedia menghadapi kegagalan.

Artikel Berkaitan:

“Kebiasaannya murid perempuan ini lebih bersikap malu dan selalu merendah diri apatah lagi ketika disuruh menonjolkan bakat masing-masing.

“Jadi dengan adanya hiasan kelas bertemakan adiwira Marvel ini, ia sedikit sebanyak membantu memberi semangat dan keberanian kepada mereka untuk tampil lebih yakin sama ada di dalam dan luar kelas,” ujarnya ketika dihubungi Sinar Bestari baru-baru ini.

Persekitaran menarik tingkatkan kehadiran murid

Ketika ditanya bagaimana penerimaan murid tentang tema Marvel yang menjadi pilihan itu, Cikgu Hanif memberitahu, semua muridnya sangat teruja dan gembira malah turut memberi cadangan untuk menukarkan adiwira Captain Marvel kepada Captain America!

Tambah Cikgu Hanif, sejak persekitaran kelasnya berubah menjadi lebih menarik, emosi murid-murid juga sangat positif dan kehadiran mereka ke sekolah juga telah meningkat kepada 98 peratus.

“Bukan sahaja murid, saya sendiri sebagai guru juga sangat gembira dan teruja apabila melihat peningkatan kehadiran mereka ke sekolah setiap hari berbanding rekod tahun sebelum ini.

“Mereka sangat aktif menggunakan semua kelengkapan dan peralatan di dalam kelas yang saya sediakan,” tuturnya lagi.

Beliau yang mengajar Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Mariam, Johor turut memaklumkan, kos baik pulih kelas 33 murid perempuan itu menelan hampir RM3,000 dan 80 peratus daripadanya adalah melalui kutipan ibu bapa dan penjaga serta sumbangan akaun Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah.

Jelas Cikgu Hanif, selebihnya bagi menambah segala kekurangan adalah kos yang ditanggung olehnya bersama Cikgu Mohd Shazreen Kamarudzaman selaku rakan guru kelas.

Kelas sebagai rumah kedua

Cikgu Hanif turut berpendapat, hiasan kelas boleh menjadi salah satu faktor utama yang mampu menarik minat murid ke sekolah dan ia diibaratkan sebagai rumah kedua.

Suasana pembelajaran yang bersih, kemas dan cantik pasti akan memotivasikan murid untuk belajar dengan lebih berkesan.
Suasana pembelajaran yang bersih, kemas dan cantik pasti akan memotivasikan murid untuk belajar dengan lebih berkesan.

Suasana pembelajaran yang bersih, kemas dan cantik pasti akan memotivasikan murid untuk belajar dengan lebih berkesan.

Malah guru-guru juga memperoleh semangat untuk mengajar apabila semua kelengkapan telah tersedia dalam suasana fizikal kelas yang selesa.

Sebagai seorang yang baru berjinak-jinak dengan aplikasi TikTok itu, Cikgu Hanif memberitahu akan berkongsi lebih banyak gambar dan video menarik tentang suasana kelasnya agar dapat dijadikan contoh buat guru-guru lain.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok