Para peserta bergambar kenangan bersama penganjur selepas tamat program Jelajah TV PSS daerah Sabak Bernam.
Para peserta bergambar kenangan bersama penganjur selepas tamat program Jelajah TV PSS daerah Sabak Bernam.

Jelajah TVPSS penuhi pembelajaran abad ke-21

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
17 Jul 2023 10:55am

Jelajah TVPSS kali ini meneruskan jajahannya ke daerah Sabak Bernam, Selangor, bagi memberi pendedahan dan ilmu tambahan mengenai dunia kewartawanan dan penyiaran kepada murid sekolah rendah dan menengah.

Program anjuran Sinar Bestari dengan kerjasama Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan (SSTP), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor itu telah berlangsung pada 11 Julai lalu melibatkan 20 buah sekolah rendah dan menengah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sabak Bernam.

Kali ini, antara sekolah yang terlibat adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 38, SK Seri Sekinchan, SK Sungai Limau, SK Sungai Haji Dorani, SK Simpang Lima, SK Kampung Baharu, SK Tok Khalifah, SK Lobok Pusing, SK Doktor Abdul Latif dan SK Khir Johari.

Turut serta Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ungku Aziz, SMK Sungai Besar, SMK Dato Mustaffa, Sekolah Berasrama Penuh Intergrasi (SBPI) Sabak Bernam, Sekolah Agama Menengah (SAM) Pasir Panjang, Sekolah Menengah Agama Tinggi (SMAT) Sultan Salahuddin Abdul Aziz, SAM Parit Baru, SAM Sungai Haji Dorani, SMAT Tengku Ampuan Jemaah dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Rahah.

Azlina Ngat Denin
Azlina Ngat Denin

Menurut Penolong Pegawai, Unit Sumber dan Teknologi Pendidikan, PPD Sabak Bernam, Azlina Ngat Denin, Program Jelajah TVPSS dilihat dapat memberi pendedahan pembelajaran luar bilik darjah kepada pelajar sekolah sekitar daerah tersebut.

Katanya, program tersebut julung kalinya dianjurkan PPD Sabak Bernam dengan kerjasama Kumpulan Media Karangkraf menerusi Sinar Bestari dan Sinar Harian.

“Alhamdulillah, program yang dinanti-nantikan berjalan lancar dan saya lihat ia memberi impak besar kepada warga pendidikan sekitar daerah ini.

Artikel Berkaitan:

“Bukan itu sahaja, pengisian yang disediakan juga dilihat memenuhi keperluan pembelajaran dan pusat sumber sekolah yang sudah beralih ke arah abad 21.

“Saya sendiri sebagai wakil PPD berbesar hati sekiranya program sebegini dianjurkan lagi pada masa akan datang untuk membantu warga pendidik lebih memahami dunia kewartawan serta cara menyunting video,” tuturnya.

Kesungguhan pelajar

Selain itu, Juruvideo Kreatif Sinar Harian, Muhammad Ikhwan Muhammad Azahari memberitahu, dia agak terkejut melihat kesungguhan dan minat para pelajar sepanjang sesi perkongsian ilmu berlangsung.

Ujarnya, kegigihan untuk lebih memahami setiap penerangan yang diberikan dapat dilihat apabila ada yang melukis dan mencatat dalam buku nota masing-masing.

“Terdapat beberapa pelajar siap melukis penerangan saya terutamanya tentang sudut penggunaan kamera dalam penghasilan sesuatu video dan ia membuktikan mereka sememangnya teruja dengan pembelajaran luar bilik darjah ini.

“Bagi saya juga dengan perkongsian ilmu tersebut mereka bukan sahaja boleh mempraktikkan dunia kewartawanan pada masa depan tetapi boleh digunakan untuk pelbagai bidang yang diceburi kelak,” katanya lagi.

Mohammed Talib Salaudeen
Mohammed Talib Salaudeen

Sementara itu, menurut guru pembimbing SK Kampung Baharu, Sabak Bernam Selangor, Mohammed Talib Salaudeen, program berkenaan memberi peluang kepada pelajar untuk mengendalikan kamera dan belajar menjadi seorang wartawan secara praktikal.

Ulasnya, ia memberi pendedahan dengan lebih mendalam apatah lagi perkongsian ilmu itu daripada wakil media sendiri yang sememangnya sudah berkecimpung dalam bidang tersebut.

“Pendidikan dahulu dan kini sememangnya banyak perbezaan. Jika dahulu lebih mengutamakan buku teks namun hari ini pelajar didedahkan dengan pembelajaran alaf baru antaranya dengan penganjuran program Jelajah TVPSS ini.

“Bukan sahaja pelajar, malah guru juga sedikit sebanyak mempelajari ilmu baharu tentang penggunaan kamera dan sudut yang diperlukan dalam penghasilan sesuatu video.

“Ia dapat membantu sekiranya sekolah ingin menghasilkan video pada masa akan datang,” katanya.

 Muhammad Afifi Abdullah Satari
Muhammad Afifi Abdullah Satari

Pada masa yang sama, guru pembimbing SBPI Sabak Bernam, Muhammad Afifi Abdullah Satari memaklumkan, input yang diterima pelajar daripada program tersebut sangat positif dan boleh dipraktikkan di sekolah.

Katanya, ilmu tambahan daripada wakil media sendiri membantu pelajar dan guru lebih memahami tentang penggunaan kamera sebagai usaha untuk memperkasakan pelajar mendepani cabaran dunia digital.

“Pendedahan sebegini sepatutnya dilakukan awal kerana bidang kewartawanan dan suntingan video ini sudah lama wujud.

“Perkara ini dapat membantu pelajar untuk lebih terbuka memilih kerjaya yang pelbagai, bergantung kepada minat dan kemahiran mereka,” ujarnya.

Apa kata mereka

Goh Xin Ru
Goh Xin Ru



"Program Jelajah TVPSS ini memberi impak besar kepada saya untuk lebih memahami bidang kewartawanan. Bukan itu sahaja, saya juga mempelajari teknik-teknik baharu yang sebelum ini tidak diketahui dan akan menggunakannya dalam penghasilan video sekolah nanti.” - Goh Xin Ru, 12, SK Khir Johari.

Athmar Zaffry Abdul Fakar
Athmar Zaffry Abdul Fakar



"Sangat seronok kerana diberi peluang untuk mempelajari ilmu yang tidak diajar di sekolah dengan lebih mendalam. Dari sini juga, ia membina keyakinan saya untuk lebih berani bercakap di hadapan kamera.” - Athmar Zaffry Abdul Fakar, 11, SK Khir Johari.



Muhammad Nabil Aiman Azman
Muhammad Nabil Aiman Azman



"Pada pendapat saya, program ini dapat melahirkan pelajar yang memiliki sifat berani dan sentiasa berusaha untuk maju ke hadapan serta melahirkan lebih ramai pelajar yang berketerampilan selain memiliki kemahiran berkomunikasi di khalayak ramai.” - Muhammad Nabil Aiman Azman, 16, SAM Tengku Ampuan Jemaah.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp