Dari kiri, Cikgu Md Shahrul Nizam, Cikgu Nik Mohammad Nasarudin, Nur Sofia Awathif, Ustazah Nik Zurawati dan Cikgu Siti Zubaidah meraikan kemenangan selepas muncul juara Pertandingan Video TikTok Cikguku Sayang anjuran Sinar Bestari.
Dari kiri, Cikgu Md Shahrul Nizam, Cikgu Nik Mohammad Nasarudin, Nur Sofia Awathif, Ustazah Nik Zurawati dan Cikgu Siti Zubaidah meraikan kemenangan selepas muncul juara Pertandingan Video TikTok Cikguku Sayang anjuran Sinar Bestari.

Juara Cikguku Sayang milik SK Sungai Dua

HAZELEN LIANA KAMARUDIN
04 Jul 2024 03:12pm
A
A
A

Kesungguhan menyiapkan video yang dibikin mengenai guru kesayangan oleh kru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Dua, Bachok, Kelantan membuahkan hasil apabila dinobatkan sebagai juara Pertandingan Video TikTok Cikguku Sayang anjuran Sinar Bestari.

Video disiapkan dalam tempoh tiga jam itu, memaparkan perkongsian seorang murid, Nur Sofia Awathif Mohd Ismail, 10, mengenai guru kesayangannya yang merupakan seorang ustazah dikenali Nik Zurawati Zakaria, 44.

Video berdurasi 3.13 minit yang dirakam cukup indah oleh guru penyelaras ICT, Cikgu Md Shahrul Nizam Md Salleh, 42, dengan kerjasama Penyelaras Pusat Sumber Sekolah (PSS), Cikgu Nik Mohammad Nasarudin Nik Muhammad menyerlahkan kepetahan Nur Sofia Awathif dalam membicarakan tentang guru kesayangannya.

Menurut Cikgu Md Shahrul Nizam, beliau membuat rakaman dan suntingan pada saat-saat akhir sebelum tarikh penyertaan ditutup dan hanya mengambil masa sekitar tiga jam untuk membuat suntingan.

"Alhamdulillah dengan kepetahan dan bakat yang ada pada Nur Sofia Awathif, ia memudahkan kerja saya merakam malah Ustazah Nik Zurawati juga memberikan kerjasama walaupun beliau tidak tahu penghasilan video bertujuan untuk pertandingan.

"Saya menggunakan segala kemahiran yang telah dipelajari sejak tahun 2003 dan pernah menyertai beberapa pertandingan video serta turut sama memenangi beberapa hadiah,” katanya.

No Image Caption

Guru Besar, Cikgu Siti Zubaidah Abdullah melahirkan rasa syukur dengan kemenangan diraih sekali gus mengharumkan nama SK Sungai Dua.

“Bakat yang ada pada pendidik dan murid di sini adalah bonus kepada sekolah sehingga meletakkan SK Sungai Dua pada kedudukan tersendiri.

"Terima kasih Sinar Bestari kerana menghargai penat lelah dan bakat yang ada pada mereka," katanya.

Terdahulu, juara Pertandingan Video TikTok Cikguku Sayang menerima wang tunai sebanyak RM1,000 yang diberikan kepada SK Sungai Dua.

Hadiah sampingan lain, turut disampaikan kepada Cikgu Siti Zubaidah dan barisan kru berupa baucar Larries setiap seorang.

Manakala Ustazah Nik Zurawati pula menerima beberapa hadiah iaitu bingkai gambar, jambangan bunga dan baucar Larries.

Berkongsi hadiah kemenangan RM1,000, Cikgu Siti Zubaidah berkata, duit itu akan digunakan untuk membeli kelengkapan pencahayaan bagi menghasilkan video yang lebih berkualiti kelak.

No Image Caption

Sementara itu, guru bahasa Arab, Ustazah Nik Zurawati berkata, beliau hanya dimaklumkan penghasilan video itu sekadar rakaman tanpa suara dan tidak pernah menyangka ia untuk pertandingan.

"Saya sangat teruja, kemenangan ini adalah hasil usaha semua pihak terutama Cikgu Md Shahrul Nizam dan Nur Sofia Awathif.

"Alhamdulillah, terima kasih kepada semua terutamanya Sinar Bestari," katanya.

Dalam pada itu, Nur Sofia Awathif yang merupakan Presiden Wartawan bagi kru TV PSS berkata, apa yang dilakukan adalah sebagai tanda menzahirkan kasih sayang dan rasa terima kasih kepada semua guru.

Ujarnya, semua guru di SK Sungai Dua begitu baik dan sangat disayanginya.

"Walaupun saya baharu berpindah ke sekolah ini setahun yang lalu, namun suasana sekolah dan keperibadian warganya menyenangkan saya,” ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok