
Kebakaran SK Padang Melangit: Jabatan Pendidikan Perlis diminta ambil tindakan segera
Jabatan Pendidikan Negeri Perlis dan bahagian-bahagian berkenaan diminta mengambil tindakan segera supaya kerja pembaikan bangunan di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Melangit, Padang Besar, Perlis yang terbakar pagi semalam dapat segera dilaksanakan, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Beliau berkata, kejadian itu menjejaskan blok bilik darjah sekolah berkenaan dan seorang mangsa yang tercedera sedang mendapatkan rawatan lanjut di hospital.
"Semoga beliau (mangsa) diberikan kesembuhan segera dan dipermudahkan semua urusan," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Sebuah bangunan lapan bilik di sekolah itu dilaporkan musnah kira-kira 90 peratus dalam kebakaran, yang turut menyebabkan seorang petugas kebersihan swasta cedera melecur 30 peratus.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis Penguasa Kanan Bomba II Mohamad Azhar Yussof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 11.05 pagi. - Bernama
Ringkasan AI
- Jabatan Pendidikan Negeri Perlis dan bahagian-bahagian berkenaan diminta mengambil tindakan segera untuk pembaikan bangunan SK Padang Melangit yang terbakar
- Kebakaran itu menjejaskan blok bilik darjah sekolah dan seorang mangsa cedera sedang mendapatkan rawatan di hospital
- Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengharapkan mangsa diberikan kesembuhan segera
- Sebuah bangunan lapan bilik musnah kira-kira 90 peratus dan seorang petugas kebersihan swasta cedera melecur 30 peratus
- Penolong Pengarah Operasi JBPM Perlis menerima panggilan kecemasan tentang kejadian kebakaran pada 11.05 pagi