Muhammad Shahrol bersama pelajar bergambar sebagai kenangan selepas pertandingan dijalankan di Dewan Tunku Canselor, UPSI, Tanjung Malim.
Muhammad Shahrol bersama pelajar bergambar sebagai kenangan selepas pertandingan dijalankan di Dewan Tunku Canselor, UPSI, Tanjung Malim.

Kit Binujar raih empat anugerah antarabangsa

Inovasi khusus bantu murid sukar menulis huruf

QURRATUL AINA QUDDUSQURRATUL AINA QUDDUS
28 May 2025 09:29am

Kecemerlangan pelajar Malaysia terus menyerlah di pentas dunia apabila sekumpulan inovator muda berjaya meraih empat anugerah dalam pertandingan International Innovation and Invention Competition UTHM (IICE), baru-baru ini.

Guru pembimbing Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 18(1), Muhammad Shahrol Harun berkata, penghasilan Kit Binujar merupakan inovasi dibangunkan khusus bagi membantu murid menghadapi cabaran menulis huruf.

Menurutnya, pembaharuan dilakukan itu menerima pengiktirafan dan meraih empat anugerah iaitu Anugerah Emas, Anugerah Pencipta Muda, Anugerah Pendidikan Terunggul dan Anugerah Khas Ketua Kejuruteraan Elektronik.

“Huruf yang sukar ditulis pelajar adalah ‘g’, ‘j’, ‘p’, ‘q’ dan ‘y’.

Bantuan daripada dua guru lain diperlukan sepanjang menghasilkan Kit Binujar tersebut.

“Inovasi ini bagi memudahkan pemahaman murid tentang struktur huruf dan garis panduan menulis.

“Alhamdulillah, ini adalah rezeki dan hasil kerjasama berpasukan serta komitmen untuk memperkasakan pendidikan inklusif,” katanya.

Murid terlibat ialah Rania El Zara Shazan Kamarul Ariffin, Raja Auni Safiyya Raja Mohd Zulfadli, Muhammad Ammar Ziqry Mohd Iskandar, Sumayyah Budi Mawardi, Wan Muhammad Muqqri Wan Mohd Faizal dan Puteri Nur Shaheera.

Artikel Berkaitan:

Lebih membanggakan apabila Rania El Zara merupakan murid Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang tampil membuat pembentangan dengan penuh yakin dan memberi inspirasi.

Pertandingan anjuran dan berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak berjaya menghimpunkan 250 peserta bersama lebih 100 juri termasuk pendidik, penyelidik, pelajar, pihak industri dari dalam dan luar negara.

Pertandingan itu turut disertai oleh peserta dari Jepun, Thailand, Indonesia dan India.

Tambah Muhammad Shahrol yang juga dikenali sebagai Sir Raden dalam Tutor MCPlus, inovasi tersebut kini berevolusi menjadi Kit Binujar 4.0 iaitu sebuah aplikasi digital mengintegrasikan pembelajaran berasaskan permainan.

“Kit ini disesuaikan dengan enam tahap Taksonomi Bloom iaitu mengenal pasti fakta, menunjukkan kefahaman dan menggunakan maklumat dalam situasi baharu.

“Selain itu, ia juga boleh memecahkan maklumat, membuat keputusan serta menghasilkan idea atau solusi.

“Kit ini bukan sekadar digitalisasi alat bantu mengajar, tetapi satu ekosistem pembelajaran menyeluruh yang merangkumi buku fizikal dan aplikasi interaktif sekali gus menjadikannya fleksibel digunakan sama ada di sekolah mahupun di rumah,” ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp