Lompat tali bukan sekadar melompat
Muhammad Daiyan simpan cita-cita menjadi atlet negara dalam lompat tali
Bermula dengan sekadar suka-suka bagi mengisi masa lapang pada musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu, kini Muhammad Daiyan Irfan Muhammad Hasrul semakin lincah dan aktif dalam sukan lompat tali.
Pelajar Tahun Tiga, Sekolah Kebangsaan (SK) Puchong Perdana, Selangor, itu dilihat begitu bersahaja mengendalikan tali skipping sambil melompat dengan pelbagai gaya dan skil yang telah dipelajarinya dalam kelas bersama jurulatih, Muhammad Firdaus Abdul Rasid.
Daiyan berkata, dia tertarik melihat kandungan video lompat tali yang dimuat naik oleh jurulatih Muhammad Firdaus di TikTok dan membuatkan dia meluahkan hasrat kepada ibunya untuk menyertai latihan dalam sukan itu.
“Semasa PKP teknik dan gaya lompat tali hanya boleh didedahkan secara dalam talian dan berlatih dengan sendiri di rumah.
“Namun selepas tamat PKP, saya meminta kepada ibu untuk menyertai latihan fizikal yang dibuat oleh jurulatih Muhammad Firdaus dan semakin banyak skil serta gaya baharu yang dipelajari.
“Kini bukan hanya sekadar melompat saya juga berupaya melakukan pelbagai teknik lebih-lebih lagi lompatan akrobatik.” ujarnya.
Bahkan dengan latihan dua kali seminggu itu turut memberinya kejayaan meraih tempat ketiga dalam Pertandingan Lompat Tali Peringkat Kebangsaan pada 2022.
Tambah Daiyan, minat dan semangat disusuli dengan latihan kerap antara penyumbang kepadanya untuk terus terlibat secara aktif dalam sukan itu walaupun hanya dia seorang sahaja yang mewakili sekolahnya.
Malah, dia turut berhasrat untuk menyertai lebih banyak pertandingan lompat tali bagi menimba pengalaman baru sebagai latihan untuknya sebelum menjadi atlet negara dalam sukan itu satu hari nanti.
Cara lompat tali yang betul
1 Pastikan kepanjangan tali skipping
dengan betulSebelum memulakan lompatan, hendaklah mengukur terlebih dahulu tali skipping mengikut ketinggian kita dengan memegang tali dengan kedua tangan dan memijak lebihan tali dengan kaki. Ukuran yang tepat adalah tali skipping perlu berada di paras bawah bahu.
2. Pegang tali skipping pada paras pinggang
Berlatih untuk pegang tali pada paras pinggang serta menghampiri badan. Posisi ini amat penting supaya seseorang dapat melompat dengan lebih lama dan mengurangkan penggunaan tenaga yang berlebihan.
3. Pusing pergelangan tangan
Dalam lompat tali, tekniknya hanya memusingkan pergelangan tangan. Ini kerana memusingkan keseluruhan tangan akan menjadikan seseorang itu lebih penat dan sukar untuk mengawal pergerakan ketika melompat.
4 Mendarat dengan kaki hadapan
Pastikan melompat dan mendarat dengan menggunakan kaki bahagian hadapan sahaja. Cuba elakkan mendarat dengan keseluruhan tapak kaki bagi mengelakkan sebarang kecederaan berlaku.
5 Jangan bengkokkan kaki
Cara lompat tali yang betul adalah dengan melompat rendah sahaja sekitar satu hingga dua inci. Lompat terlalu tinggi bukan sahaja mengundang penat tetapi boleh mendorong kecederaan pada kaki.