Kumpulan Tiruh dari SK Sri Gaya muncul penerima pingat emas dalam DWC.
Kumpulan Tiruh dari SK Sri Gaya muncul penerima pingat emas dalam DWC.

Murid Sabah bawa pulang tiga pingat emas untuk Malaysia

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
03 Jul 2024 04:58pm

Pentas akhir Dance World Cup (DWC), National Folk Dance, Prague, Republik Czech membawa khabar gembira kepada rakyat Malaysia apabila pasukan murid dari Sabah meraih tiga pingat emas dalam pertandingan itu.

Kumpulan murid yang terdiri dari empat buah sekolah di Sabah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Mutiara, SK St Agnes, SK Sri Gaya dan SK Bundu merupakan penari cilik yang berbakat besar dalam dunia tarian.

Mereka telah membuat persembahan memukau sehingga berjaya menambat hati juri sekali gus diumum penerima pingat emas dalam DWC.

Selain emas, pasukan penari ini juga membawa pulang dua pingat perak dan dua pingat gangsa menerusi beberapa kategori di pertandingan tersebut.

Untuk rekod, tiga pingat emas Malaysia diraih menerusi SK Mutiara (kategori Solo Nasional dan Budaya Rakyat Kanak-Kanak); SK Sri Gaya (Kumpulan Kecil Nasional dan Budaya Rakyat Kanak-Kanak) dan SK St Agnes (Duet/Trio Nasional dan Budaya Rakyat Kanak-Kanak).

Manakala dua pingat perak diperolehi melalui SK Mutiara (kategori Duet Kanak-Kanak/Trio Kebangsaan dan Budaya Rakyat) dan SK St Agnes (Solo Kebangsaan dan Budaya Rakyat).

Bagi dua pingat gangsa pula, diberikan kepada SK Mutiara melalui kategori Kanak-Kanak Kumpulan Kecil Kebangsaan dan Budaya Rakyat serta Budaya Rakyat Kebangsaan (lelaki) Kanak-kanak Solo.

No Image Caption

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Rombongan, Masdi Ahmad Mus berkata, segala kerja keras para peserta akhirnya membuahkan hasil apabila merangkul pelbagai kejayaan di DWC.

“Semua penari berlatih setiap hari demi memberi persembahan yang terbaik di kejohanan kali ini.

“Alhamdulillah, segala pengorbanan dan usaha guru serta pelajar berjaya lantas mengharumkan nama Malaysia di persada dunia,” ujarnya.

Beliau yang juga Penolong Kanan Kokurikulum SK Mutiara berkata, seramai lapan pelajar diiringi lapan guru memerlukan kira-kira RM300,000 untuk menampung semua perbelanjaan termasuk tiket penerbangan, penginapan dan makanan.

Dengan sokongan ahli politik, pemimpin komuniti, syarikat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu, akhirnya mereka dapat merealisasikan impian pelajar, pihak sekolah dan ibu bapa apabila berjaya mengumpul sebanyak RM235,000.

“Kami terpaksa menanggung hutang untuk ke DWC. Apabila kembali ke Sabah kelak, kami akan mengadakan pelbagai aktiviti termasuk jualan untuk mengutip dana bagi membayar hutang,” jelasnya dengan menambah ini adalah penyertaan kedua SK Mutiara di pentas akhir DWC di mana sebelum ini, mereka pernah memenangi pingat emas pada 2019.

No Image Caption

Dalam pada itu, guru SK Bundu, Cikgu Katres Kuntiw berkata, dua penari dari sekolah itu layak ke pentas akhir DWC namun hanya seorang yang diterbangkan ke Prague kerana kekangan kewangan.

“Tahun lepas, penari dari SK Bundu juga layak ke DWC di Portugal. Akibat tiada dana, kami terpaksa melepaskan peluang beraksi di pentas antarabangsa.

"Jadi tahun ini, kami gigih mengumpul kewangan untuk menghantar sekurang-kurangnya seorang penari ke Prague,” tuturnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp