Pendedahan kerjaya pilihan
YES! Night At The Library bukan sahaja menawarkan pengalaman luar biasa tetapi peluang kepada peserta untuk mengetahui pelbagai pilihan kerjaya melalui penglibatan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp).
Ini diakui sendiri oleh Naib Presiden Kanan, Kerajaan, Kesetiausahaan Korporat dan Sekolah, TalentCorp, Mas Muhammad Hakim Masika yang melihat program tersebut amat bagus untuk pelajar.
Menurut beliau, program yang diadakan selama dua hari itu merupakan salah satu objektif TalentCorp untuk melahirkan bakat tempatan iaitu memberi pendedahan kepada murid-murid tentang pilihan profesion dari pelbagai bidang.
“Saya melihat program sebegini sangat diperlukan kerana perubahan kepada landskap pekerjaan sekarang terlalu cepat.
“Bulan lepas (November), kita bercakap tentang teknologi kecerdasan buatan (AI), tahun depan mungkin dah jadi perkara lain.
“Maklumat tentang kerjaya memang perlu diberi pendedahan dan penekanan dari semasa ke semasa,” ujarnya.
Hakim berkata, sebagai agensi kerajaan, TalentCorp juga memiliki banyak keunikan antaranya hubungan rapat dengan industri.
“Kita juga peroleh pelbagai maklumat pekerjaan dan kemahiran yang industri perlukan.
“Segala info itu, kita masukkan dalam projek dan sebar luas melalui program peringkat universiti, sekolah menengah dan rendah,” ujarnya sambil memaklumkan TalentCorp turut mempunyai platform khusus iaitu mymahir.my untuk rujukan semua lapisan masyarakat.
Ia sebuah platform khusus direka untuk membantu individu menilai dan meningkatkan kemahiran, memperoleh kecekapan baharu, dan meneroka peluang kerjaya.
REAKSI PESERTA:
"Saya berkongsi kisah hidup sebagai guru menerusi segmen 'Sesi Khas: Perjalanan Kejayaan'. Rata-ratanya teruja dan berhasrat mahu menceburi kerjaya pendidik. Pesan saya, belajar bersungguh-sungguh. Fokus akademik dan kokurikulum serta raih keputusan cemerlang kerana zaman sekarang sangat berbeza dengan dahulu.” - Edufluencer yang juga guru Sekolah Kebangsaan (SK) Abdul Samat, Klang, Selangor, Mohd Haiqal Abdullah Chik.
"Sangat seronok dapat menyertai YES! Night At The Library. Dapat ramai kawan baharu dan ikuti banyak aktiviti menarik. Tak sabar nak sertai lagi." - Murid SK USJ 12, Airol Adam Raed Airol Fadley, 12.
"Aktiviti paling disukai ialah 'Misi Detektif Mencari Buku'. Mencabar dan lain daripada yang lain.” - Murid SK Kota Kemuning Mas, Fahim Umar Mohd Asharizan, 11.
"Paling sukar dilupakan apabila dapat tidur dalam khemah dengan kawan-kawan baharu. Macam-macam cerita kami kongsi. Harap penganjur buat lagi program sebegini. Seronok!” - Murid SK Putrajaya Presint 15(1), Mas Muhamad Rayyan Mas Muhamad Hakim, 10.
"Semua aktiviti disediakan menarik, mantap dan terbaik. Paling best, tentulah dapat ramai kenalan baharu.” - Murid SK Seksyen 24, Shah Alam, Nur Safiyya Aleesya Yusmizal, 11.
"Aktiviti yang paling saya suka segmen persembahan kumpulan kerana dapat tonjolkan bakat semula jadi yang ada. Kawan-kawan baharu pun sporting." - Murid SK Seksyen 19, Shah Alam, Muhammad Khairuddin Mohd Hazrizal, 10.