Pertama kali hasilkan video raya, SK Guar Nangka berjaya menyentuh hati warga maya

AZLEENDA SAHALUDIN
21 Apr 2023 10:06am
A
A
A

Video raya pendek yang merupakan karya sulung Sekolah Kebangsaan (SK) Guar Nangka, Perlis, berjaya menyentuh hati penonton sekali gus mendapat maklum balas positif daripada warga maya.

Sehingga kini, perkongsian klip video berdurasi 6 minit 39 saat bertajuk ‘Raya Bersama 2023’ itu telah mencatatkan jumlah tontonan yang tinggi sekitar 64,000 menerusi saluran Youtube milik Halmey Hamdah.

Manakala di aplikasi TikToK pula, perkongsian video itu berjaya merekodkan lebih kurang 218,000 tontonan; 19,200 tanda suka dengan 2,900 perkongsian daripada warga maya.

Melihat kepada gaya penyampaian naratif penceritaan di samping lakonan mantap yang dilakonkan oleh warga sekolah antaranya guru dan murid serta komuniti setempat berjaya membuat mereka yang menyaksikan video berkenaan mengalirkan air mata.

Menurut pengarah video pendek tersebut, Cikgu Nor Halmey Hamdah, pengalaman sebagai guru Bimbingan dan Kaunseling selama 23 tahun mencetuskan idea untuk menghasilkan video itu yang merupakan pengalaman sebenar daripada beberapa murid dan telah melalui proses olahan terlebih dahulu.

Beliau yang banyak terlibat dalam lakonan drama di televisyen memaklumkan, pengalamannya itu turut diguna pakai dalam menghasilkan video sempena raya tahun ini.

“Penghasilan video pendek ‘Raya Bersama 2023’ ini mengambil masa selama seminggu dan penggambaran yang dijalankan sekitar Chuping, Padang Melangit dan Behor Inai, Perak.

“Melalui video ini juga kami cuba mengetengahkan usaha guru sebagai pendidik dalam memastikan tiada seorang murid akan ketinggalan khususnya pada sambutan hari raya ini,” katanya.

Tambah Cikgu Halmy lagi, SK Guar Nangka juga pernah menerima Anugerah Platinum Sekolah Kebangsaan bagi penghasilan video pendek Mat Kilau anjuran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) tahun lalu.

Artikel Berkaitan:


Sementara itu, Guru Besar sekolah, Mohd Nadzri Jaafar, ketika dihubungi Sinar Bestari tidak dapat menyembunyikan perasaan kagum dan gembira apabila video raya yang pertama kali dihasilkan tular di beberapa platform media sosial.

Katanya, hasil video yang merupakan 100 peratus usaha daripada guru dan murid sekolah berjaya membuahkan hasil yang membanggakan serta mengharumkan nama sekolah.

“Saya sebagai Guru Besar sememangnya bangga dengan hasil karya sulung guru bersempena raya tahun ini.

“Insya-ALLAH kami juga dalam perancangan untuk menghasilkan video berkonsepkan drama menjelang raya untuk tahun-tahun berikutnya,” ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok