Rentak 13 semakin dikenali selepas terlibat dengan pertandingan dan persembahan di hadapan tetamu dalam kalangan pemimpin negara.
Rentak 13 semakin dikenali selepas terlibat dengan pertandingan dan persembahan di hadapan tetamu dalam kalangan pemimpin negara.

Rentak tari anak merdeka pelihara tarian tradisional

26 Sep 2025 10:35am

Selepas 68 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos 1957, arus kemodenan telah mengubah pelbagai aspek kehidupan rakyat negara ini seiring perubahan geo politik dunia.

Antara aspek kehidupan rakyat yang perlu berubah mengikut trend semasa walaupun kita bergelar negara bebas, melibatkan sistem ekonomi global, pendidikan, teknologi mahu pun bidang hiburan sebagai sebahagian budaya penduduk sesuatu negara tersebut.

Bila disebut bidang hiburan di Malaysia yang belum mencapai seabad usia merdeka ini, sudah pasti kita membayangkan artis-artis tempatan popular seperti Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, Datuk Jamal Abdillah dan Aina Abdul.

Namun di tengah dunia nyanyian dan hiburan kontemporari tersebut, wujud sekelompok ibu bapa muda yang lahir pasca 1957 bermuafakat memperjuangkan tarian tradisional seni budaya orang Melayu untuk dikuasai anak-anak mereka.

Menurut ahli jawatankuasa (AJK) Unit Rentak 13 di bawah Persatuan Ibu Bapa & Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 13, Shah Alam, Selangor, Lola, sebagai seorang ibu yang ingin anaknya mempunyai aktiviti bermanfaat, dia melihat seni tarian tradisional adalah pilihan terbaik.

"Dalam kalangan ibu bapa merasakan perlu untuk anak-anak yang tidak terlibat dengan sukan menyertai aktiviti lain sesuai dengan usia hijau mereka.

"Lalu lahirlah idea menubuhkan kumpulan tarian iaitu Rentak 13 yang melibatkan jurulatih tarian daripada luar dan ibu bapa sendiri,” ujarnya. 

Artikel Berkaitan:

Sesi latihan tarian di hujung minggu.
Sesi latihan tarian di hujung minggu.

Merupakan seorang peguam, Lola berkata, tarian tradisional adalah seni persembahan yang melibatkan gerakan badan mengikut rentak muzik dan merupakan sebahagian daripada warisan budaya sesebuah masyarakat yang perlu dipertahankan untuk generasi akan datang.

Katanya lagi, selepas setahun ditubuhkan Rentak 13 semakin dikenali selepas terlibat dengan pertandingan dan persembahan di hadapan tetamu dalam kalangan pemimpin negara.

"Rentak 13 terus mendapat perhatian warga sekolah dan ibu bapa yang sehati dan sejiwa dalam memastikan anak mereka menjalankan aktiviti jauh daripada dunia gajet dan media sosial.

"Semasa mula tubuhkan Rentak 13, kita menyasarkan 70 penari sahaja. Namun sambutan menggalakkan daripada pelbagai kelas bermula Tahun Satu hingga Enam jumlahnya melonjak hingga 97 orang," jelas Lola.

Sementara itu, seorang lagi AJK Unit Rentak 13, Shazwani Abdul Ghani berkata, dia menolak pandangan Rentak 13 sekadar kumpulan seni mengisi masa lapang di hujung minggu.

Dia yang bekerja dalam bidang teknologi maklumat di syarikat kewangan malahan menegaskan, aktiviti tarian tersebut mampu membentuk jati diri sebagai anak Malaysia yang merdeka dan cinta kepada warisan budaya nenek moyang.

Aksi si cilik semasa persembahan majlis raja sehari.
Aksi si cilik semasa persembahan majlis raja sehari.

Tambahnya lagi, anak perempuannya yang dahulunya pendiam dan lebih cenderung dengan gajet kini berubah menjadi seorang anak yang lebih periang dan berkeyakinan.

"Rentak 13 juga meningkatkan sikap percaya diri yang tinggi kepada anak saya. Tarian tradisional seperti inang dan zapin membentuk disiplin dalam dirinya agar lebih fokus terhadap pelajaran dan rekreasi.

"Interaksi dengan kawan-kawan sealiran bukan sahaja meningkat malahan pencapaian akademik turut naik. Lagi pun latihan tarian hanya mengambil masa sejam di hujung minggu," ujarnya.

Curah segala ilmu

Ketua Unit Rentak 13 dan Jurulatih Utama, Farhana Dullah berkata, demi meneruskan legasi seni tarian tradisional yang dikuasai sejak usia muda, dia sentiasa bersedia meluangkan masa mengajar anak-anak kecil di sekolah itu.

Farhana yang merupakan graduan Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) berkata, dia mencurahkan segala ilmu tarian bukan sahaja tradisional malahan tarian moden.

"Apa yang penting untuk memastikan anak-anak ini berminat, saya mempunyai pendekatan tersendiri bagi memastikan sesi latihan dilalui tanpa rasa bosan.

"Lagu-lagu memainkan peranan juga bagi memastikan mereka terus mengikuti latihan dan memahami langkah-langkah dan lenggok-lenggok tarian," ujarnya yang berasal dari Sabah.

Farhana berkata, selain dirinya ada ibu pelajar yang mempunyai kemahiran menari tarian tradisional turut terlibat melatih kesemua pelajar tanpa jemu.

No Image Caption

Bagi penaung Rentak 13, Zulrushdi Mohamed pula, dia sentiasa menyokong sebarang aktiviti yang membawa kebaikan kepada perkembangan positif seseorang murid dalam aspek meningkatkan pencapaian ko-kurikulum.

Merupakan bekas Yang Dipertua PIBG sekolah tersebut, Zulrushdi berkata, komitmen para ibu bapa yang sanggup mengumpul dana dengan mengadakan program jualan amal sentiasa mendapat sokongan tidak berbelah bahagi daripada pihaknya.

"Selain mendapat kerjasama pihak sekolah, saya amat berbangga melihat ibu bapa sanggup datang berniaga kuih-muih dan pakaian untuk mengumpul dana bagi menampung perbelanjaan membeli pakaian penari Rentak 13.

"Sempena 68 tahun negara kita merdeka tahun ini, saya berharap kumpulan tarian tradisional ini terus mendapat perhatian dan diberi peluang membuat persembahan hingga ke peringkat dunia satu hari nanti," ujarnya.

Orang ramai yang ingin mengikuti perkembangan kumpulan tarian si cilik berbakat besar ini boleh melayari akaun instagram @rentak13.sks13.

 

 

Ringkasan AI

  • Selepas 68 tahun merdeka, Malaysia melalui pelbagai perubahan termasuk dalam bidang hiburan
  • Ibu bapa muda pasca 1957 memperjuangkan tarian tradisional Melayu untuk anak-anak mereka
  • Rentak 13, kumpulan tarian dibawah PIBG SK Seksyen 13, Shah Alam mendapat sambutan positif dari komuniti sekolah
  • Aktiviti tarian tradisional dianggap membantu dalam membina jati diri dan meningkatkan kepercayaan diri anak-anak
  • Rentak 13 didukung oleh ibu bapa dan jurulatih yang berdedikasi, serta mendapat sokongan dalam mengumpul dana untuk keperluan kumpulan
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp