Zariah (tengah) mengajar pelajar yang mempunyai beberapa kategori di Sekolah Pendidikan Khas Nur Azalea, Johor Bahru.
Zariah (tengah) mengajar pelajar yang mempunyai beberapa kategori di Sekolah Pendidikan Khas Nur Azalea, Johor Bahru.

Sekolah pendidikan khas alami kekurangan dana

31 Jul 2024 12:31pm

Sebuah sekolah pendidikan khas di Jalan Gertak Merah, Johor Bahru, Johor berdepan masalah kekurangan dana yang dikhuatiri menjejaskan operasinya.

Guru Besar, Sekolah Pendidikan Khas Nur Azalea, Zariah Ahmad berkata, sekolah itu memerlukan dana RM40,000 sebulan bagi menampung kos operasi termasuk pembayaran gaji pekerja, pembayaran bil utiliti, kos pembelajaran dan sebagainya.

"Kami hanya mampu memperoleh dana kurang daripada RM10,000 sebulan hasil sumbangan ramai selain pembayaran yuran sekolah iaitu antara RM70 hingga RM100 bagi setiap pelajar.

"Keadaan ini menimbulkan kesulitan terutama daripada soal pembayaran gaji kakitangan. Terdapat 56 pelajar serta 14 kakitangan di bahagian pengurusan.

"Kebanyakan pekerja menganggap sekolah ini yang kini berusia hampir 40 tahun sebagai rumah kedua dan keluarga mereka sendiri dan mereka sanggup bekerja dengan bayaran gaji minimum," katanya ketika ditemui pemberita pada Rabu.

Beliau berkata, pihaknya bimbang sekiranya keadaan tersebut berterusan akan menjejaskan operasi sekolah berkenaan.

Dakwanya, ramai ibu bapa juga berharap sekolah itu dikekalkan demi masa depan anak kurang upaya terutama autisme, 'sindrom down' dan kanak-kanak masalah pembelajaran.

"Sehingga kini kami berjaya mendidik hampir 600 pelajar dan kebanyakannya menunjukkan perkembangan yang baik terutama dalam soal mengurus diri serta rutin harian," ujar beliau.

No Image Caption

Selepas tamat persekolahan katanya, mereka berpeluang bagi mengikuti bengkel khas bersama restoran makanan ringan yang secara tidak langsung mendedahkan dengan alam pekerjaan serta turut menerima elaun.

Zariah berkata, pihaknya bersyukur kerana menerima geran tahunan daripada kerajaan negeri mahupun geran langsung bagi makanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang mampu meringankan sebahagian kos.

Menurutnya, bagaimanapun masalah kekurangan dana masih menghantui pihak pengurusan yang semakin bimbang dengan masa depan sekolah.

Katanya, sekolah berkenaan berada di bawah kelolaan Persatuan Bagi Kanak-kanak Kerencatan Akal Johor.

"Kewujudan sekolah ini amat penting dan menerima sambutan dalam kalangan keluarga yang memiliki anak orang kurang upaya (OKU) intelektual. Kami juga bercadang untuk menjalankan pelbagai usaha bagi mengumpul dana termasuk mengadakan program seperti hi-tea, hari bendera dan sebagainya pada masa depan.

"Kami mengalu-alukan kerjasama ramai bagi menjayakannya selain berharap orang ramai tampil menyewa kemudahan dewan sekolah kami bagi penganjuran sebarang program keramaian," katanya.

Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun HSBC milik Persatuan Bagi Kanak-kanak Kerencatan Akal Johor di 311246136001.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp