Allahyarham meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas dan kekejangan otot ketika bersarapan di kantin sekolah.
Allahyarham meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas dan kekejangan otot ketika bersarapan di kantin sekolah.

'Selamat jalan Cikgu Khairul Anuar. Pemergianmu pada Hari Guru mengejutkan warga sekolah dan rakan seperjuangan'

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
17 May 2025 11:14pm

"Allahyarham seorang guru dan sahabat yang baik. Banyak jasa sepanjang hayatnya masih ada terutamanya kepada anak-anak Sekolah Kebangsaan (SK) Kem Syed Sirajudin, Gemas, Negeri Sembilan."

"Perginya sahabat dan rakan seperjuangan yang begitu baik. Semoga rohmu dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang soleh."

"Pemergian mengejut pada Hari Guru 16 Mei, di sekolah dan penghulu hari iaitu Jumaat. Moga ALLAH tempatkan almarhum bersama para solihin dan mukminin."

Itulah antara ucapan sedih yang sempat dikongsikan Sinar Bestari kepada pembaca susulan pemergian Cikgu Khairul Anuar Ismail, 46, pada jam 7.40 pagi Jumaat.

Difahamkan, Allahyarham meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas dan kekejangan otot ketika bersarapan di kantin sekolah.

Menurut Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Amiruddien Sariman, pihaknya menerima panggilan awam memaklumkan seorang lelaki meninggal dunia di Hospital Tentera Kem Syed Sirajuddin pada 9.20 pagi.

"Siasatan telah dijalankan dan mendapati mangsa merupakan seorang guru. Kira-kira pukul 7.40 pagi, mangsa bersama beberapa orang guru lain sedang bersarapan di kantin sekolah dan secara tiba-tiba mangsa telah sesak nafas serta mengalami kekejangan otot badan.

"Mangsa telah dibawa ke Hospital Tentera Kem Syed Sirajuddin dan pihak hospital telah memberi bantuan pernafasan namun usaha untuk menyelamatkan mangsa gagal. Mangsa telah disahkan meninggal dunia," katanya.

Amiruddien berkata, bedah siasat telah dilakukan di Hospital Tampin dan sebab kematian adalah akibat serangan jantung.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.

Sinar Bestari merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga dan warga SK Kem Syed Sirajudin atas pemergian Cikgu Khairul Anuar.

Sesungguhnya, pemergian beliau pada Hari Guru dan penghulu segala hari, pastinya meninggalkan kesan mendalam kepada semua.

Jasanya sepanjang mendidik anak bangsa akan terus dikenang dan semangatnya sebagai seorang guru yang berdedikasi menjadi inspirasi buat generasi akan datang.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp