Cikgu Siew Knew (tengah) bersama warga sekolah bergotong royong menganyam ketupat sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat sekolah.
Cikgu Siew Knew (tengah) bersama warga sekolah bergotong royong menganyam ketupat sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat sekolah.

SJKC Chi Sin hidupkan suasana hari raya

NORAFIDAH ASSANNORAFIDAH ASSAN
06 May 2024 03:36pm

Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chi Sin, Batu Kikir, Negeri Sembilan meneruskan tradisi meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri pada Jumaat dengan mengambil pendekatan bergotong-royong memasak sendiri juadahnya, berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya.

Lebih menarik, guru berbangsa Cina di sekolah itu pertama kalinya berpeluang mempelajari masakan tradisi masyarakat Melayu antaranya rendang,lemang dan ketupat.

Guru Besar, Cikgu Won Siew Knew berkata, terdapat 66 murid di sekolah itu dan hanya empat daripadanya adalah murid kaum Cina selebihnya merupakan murid Melayu.

" Ramai dalam kalangan ibu bapa dan penjaga mahukan kelainan pada tahun ini sebab sebelum ini kami menggunakan khidmat katering.

" Seronoknya guru-guru kaum Cina dapat belajar masakan masyarakat Melayu, banyak ramuan dan prosesnya lagi-lagi lemang, tetapi hasilnya tidak mengecewakan sebab sedap. Semuanya air tangan ibu bapa murid dan guru-guru," katanya.

No Image Caption

Dalam pada itu, bapa pelajar, Asrul Rizal Kamal Arif, 41 berkata, empat orang anaknya semuanya bersekolah di sini.

" Mereka seronok sekolah di sini suasananya sangat selesa, kami pun sanggup memberikan 100 peratus tumpuan dan sumbangan tenaga untuk kelancaran semua program sekolah demi kejayaan anak- anak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Senada dengan itu, Zanariah Abdol Azis, 43, berkata, dia sanggup mengambil cuti bekerja semata-mata untuk memastikan majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri di sekolah itu berjalan lancar.

" Saya harap suasana harmoni membabitkan pelbagai kaum ini kekal sebab ia untuk kebaikan masa depan anak-anak," katanya.

Sekolah ini sebelum ini mencipta sejarah tersendiri apabila 20 murid Tahun Satu yang berdaftar di sekolah itu Mac lalu adalah kanak-kanak Melayu.

Trend murid Melayu lebih banyak daripada kaum Cina di SJKC sudah berlaku sejak beberapa tahun lalu dan pihak sekolah mengalu-alukan perkembangan positif tersebut.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp