Soo Sin (kiri) bersama murid-muridnya mempamerkan baja kompos yang dihasilkan dari sisa makanan kantin sekolah mereka ketika menyertai Karnival UDA 2024@Johor di Padang Akasia, Angsana Johor Bahru Mall baru-baru ini.
Soo Sin (kiri) bersama murid-muridnya mempamerkan baja kompos yang dihasilkan dari sisa makanan kantin sekolah mereka ketika menyertai Karnival UDA 2024@Johor di Padang Akasia, Angsana Johor Bahru Mall baru-baru ini.

SJKC Foon Yew 2 tukar sisa kantin sekolah jadi baja kompos

18 Oct 2024 08:00am

Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Foon Yew 2, Johor Bahru, mengambil inisiatif memanfaatkan sisa makanan dari kantin untuk menghasilkan baja kompos.

Guru Penyelaras Pendidikan Kelestarian sekolah, Tan Soo Sin berkata, baja itu digunakan untuk keperluan tanaman di kawasan sekolah sekali gus menjimatkan kos pembelian baja dan selebihnya dijual kepada orang ramai.

Beliau berkata, projek berkenaan dilaksanakan dengan bantuan pelajar terutama pasukan Pengawas Alam Sekitar di sekolah tersebut.

"Inspirasi untuk melaksanakan projek ini tercetus pada tahun 2019 menerusi perkongsian maklumat daripada Jabatan Pendidikan negeri berhubung kaedah pengurusan sisa makanan.

"Pada awalnya, kami lakukan secara manual iaitu menggunakan bekas kompos tetapi ia mengambil masa lama untuk mengurai sisa makanan iaitu kira-kira tiga bulan hingga setengah tahun, sebelum kami mula menggunakan mesin kompos pada 2020," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, mesin kompos berkenaan yang mempercepatkan proses menghasilkan baja kompos dalam tempoh 24 hingga 48 jam, dibeli menggunakan wang yang diperoleh menerusi penyertaan sekolah itu dalam 'Iskandar Malaysia Ecolife Challege' (IMELC) pada tahun 2019 serta sumbangan ibu bapa pelajar dan komuniti.

Murid SJKC Foon Yew 2 membantu membungkus baja kompos yang terhasil menerusi sisa-sisa makanan kantin yang telah diproses untuk kegunaan tanaman sekolah dan dijual kepada orang ramai.
Murid SJKC Foon Yew 2 membantu membungkus baja kompos yang terhasil menerusi sisa-sisa makanan kantin yang telah diproses untuk kegunaan tanaman sekolah dan dijual kepada orang ramai.

Soo Sin berkata, dalam tempoh seminggu mesin itu boleh memuatkan kira-kira 150 kilogram sisa makanan yang diperoleh di kantin sekolah antaranya menerusi tong sisa makanan yang disediakan untuk pelajar pada waktu rehat.

Beliau berkata, sisa makanan itu perlu dicuci terlebih dahulu untuk membuang minyak serta garam bagi menghasilkan baja yang lebih berkualiti, manakala sisa makanan yang tidak boleh di proses seperti tulang, cangkerang, biji benih serta kulit buah-buahan yang keras akan diasingkan dan dibuang.

"Jika minyak atau garam terlalu banyak ia akan mengancam tanah dan akar tidak akan tumbuh dengan baik.

"Selain itu, kita turut menggunakan serbuk papan untuk turut membantu menyerap minyak, kemudian dimasukkan enzim yang akan menyuburkan lagi tanah," katanya yang telah berkhidmat 19 tahun di sekolah berkenaan.

Beliau menambah pelajar yang terlibat dalam projek berkenaan turut membantu dalam kerja-kerja menapis baja kompos yang telah matang sebelum ditimbang dan membungkusnya.

Soo Tin dalam pada itu berkata sebungkus baja kompos seberat 700 gram dijual pada harga RM10 dan dianggarkan 500 hingga 800 bungkus baja yang dihasilkan telah terjual pada setiap tahun.

Beliau berkata, baja itu dijual pada hari ibu bapa yang diadakan di sekolah berkenaan atau pameran yang disertai.

"Dalam setahun, ada dua kali hari ibu bapa diadakan dan kebanyakan mereka memberi sokongan kerana selepas beli nampak keberkesanan baja kompos ini atau jual menerusi pameran yang kami sertai.

"Bagaimanapun, ini (jualan) tidak menjadi keutamaan sekolah kerana keutamaan kami ialah terhadap tanaman di kawasan sekolah kerana kami mahu menggunakan baja yang bebas racun dan secara langsung ia juga lebih menjimatkan," katanya. - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp