SK Kanchong Darat antara sekolah yang berjaya raih pelbagai anugerah dalam sukan lompat tali

Sebelum ini permainan lompat tali hanya dikenali sebagai aktiviti riadah yang dilakukan bertujuan untuk mengisi masa lapang.

31 Jan 2023 11:54pm
A
A
A

Sebelum ini permainan lompat tali hanya dikenali sebagai aktiviti riadah yang dilakukan bertujuan untuk mengisi masa lapang.

Namun siapa sangka permainan ini telah menjadi satu fenomena apabila ia telah diiktiraf dan dipertandingkan di peringkat antarabangsa yang lengkap dengan peraturan serta pembahagian mengikut kategorinya tersendiri.

Melihat kepada populariti sukan tersebut hari ini, Kursus Kejurulatihan Lompat Tali Peringkat Negeri Selangor telah dianjurkan baru-baru ini oleh Persatuan Lompat Tali Negeri Selangor dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan (SK) Kanchong Darat, Selangor dan Majlis Perbandaran Kuala Langat.

Menurut Pengerusi, Persatuan Lompat Tali Negeri Selangor, Dr Mohd Akil Mohd Khailani, objektif utama kursus ini adalah untuk mengembangkan pengetahuan berkaitan lompat tali di samping berkongsi pengalaman bersama pihak sekolah yang telah memenangi banyak pingat dan anugerah dalam pelbagai kejohanan sukan berkenaan.

“Kursus Kejurulatihan Lompat Tali ini juga dilakukan untuk menambah lebih ramai jurulatih yang berkebolehan mendidik dan mengajar sukan ini kepada pelajar sekolah.

“Ia juga adalah untuk memastikan sukan ini dipelajari dan diminati oleh segenap lapisan masyarakat sehingga menjadi sukan yang lebih popular dan dipertandingkan di peringkat yang lebih tinggi,” ujarnya.

Dalam pada itu, Guru Besar SK Kanchong Darat, Rozanah Abd Razak turut berkata, pihaknya sentiasa memberi galakan kepada pelajar yang bersungguh-sungguh ingin menceburi sukan lompat tali walaupun ia masih baru diperkenalkan.

[caption id="attachment_50679" align="aligncenter" width="600"] Sesi tunjuk cara lompat tali[/caption]

Artikel Berkaitan:

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Persatuan Lompat Tali Selangor yang sudi memberi bimbingan, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Langat yang sentiasa membuka ruang serta peluang mewujudkan medan positif untuk kami sertai, guru-guru yang komited dan melaksanakan tugas dengan cemerlang, ibu bapa yang sentiasa memberi sokongan, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang tidak lokek memberi sumbangan dan murid yang kental dan tidak kenal erti putus asa.

“Kombinasi semua ini adalah punca utama kejayaan kami dalam sukan lompat tali sehingga meraih pelbagai anugerah dan pingat.” katanya.

Antara kejayaan yang telah dimenangi oleh SK Kanchong Darat

1. Anugerah Sekolah Terbaik Keseluruhan Kejohanan Lompat Tali TS25 Negeri Selangor dengan membawa pulang emas, perak dan gangsa.

2. Anugerah Sekolah Terbaik Program Kecergasan 1M1S Lompat Tali Negeri Selangor.

3. Anugerah Sekolah Terbaik Pertandingan Virtual Lompat Tali Prestasi Tinggi Negeri Selangor dengan menggondol emas, perak dan gangsa.

4. Memenangi pingat emas dalam acara Pair Freestyle kategori Lelaki bawah 12 tahun dan Johan Pair Freestyle Perempuan Bawah 12 tahun dalam Kejohanan Virtual Lompat Tali Prestasi Tinggi Peringkat Kebangsaan.

5. Mendapat Anugerah Sukan Terbaik dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Sukan MSSS Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.

6. Menyertai Kejohanan Virtual Asia Jump Rope Union.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok