SK Pasukan Polis Hutan adakan majlis berbuka puasa, erat hubungan sesama guru dan kakitangan

AZLEENDA SAHALUDIN
12 Apr 2023 02:12pm
A
A
A

Sudah memasuki penghujung Ramadan tahun ini di mana ramai umat Islam mengambil peluang mengadakan majlis berbuka puasa bagi mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat.

Warga pendidik dan kakitangan Sekolah Kebangsaan (SK) Pasukan Polis Hutan, Perak, tidak ketinggalan bersama-sama meraikan guru dan kakitangan serta keluarga masing-masing pada majlis berbuka puasa, baru-baru ini.

Perkara demikian turut dilakukan oleh yang menjadikan acara berbuka puasa beramai-ramai itu sebagai amalan tahunan.

Menurut Pengerusi Kelab Kebajikan Guru dan Kakitangan SK Pasukan Polis Hutan, Ustaz Quszaini Abd Manan, majlis berbuka puasa tersebut yang diadakan setiap tahun telah dimulai dengan Majlis Tahlil dan Doa Selamat, diikuti solat Maghrib, Isyak dan Terawih secara berjemaah.

Tambah Ustaz Quszaini, budaya berbuka puasa di sekolah merupakan satu perkara yang perlu dijadikan amalan walaupun hanya diadakan setiap kali Ramadan tiba.

“Jika sebelum ini guru dan kakitangan sekolah hanya membincangkan perihal sekolah sahaja namun dengan adanya majlis berbuka puasa ini mereka lebih terbuka untuk berkongsi dan bertukar pendapat tentang perkara lain.

“Alhamdulillah saya mewakili guru SK Pasukan Polis Hutan berasa seronok dengan jalinan ukhuwah sesama kami dan diharap suasana ini dapat menjadi memori indah untuk dikenang selalu,” ujarnya.

Jelas Ustaz Quszaini lagi, makanan berbuka puasa tahun ini ada yang dibawa oleh guru serta kakitangan dan mereka turut menyumbang wang ringgit untuk berkongsi membeli menu utama iaitu nasi berlauk dan nasi beriani ayam vanggey.

Artikel Berkaitan:

Terdapat juga beberapa menu istimewa lain seperti cucur udang, cucur ikan bilis, kek, mi bandung, roti canai, martabak maggi dan roti jala.

“Syukur tahun ini sekolah sekali lagi berjaya melaksanakan majlis berbuka puasa dan solat berjemaah.

“Ia bukan sahaja untuk mengejar ganjaran pahala di bulan mulia ini tetapi turut mengukuhkan hubungan antara kami yang mungkin sebelum ini hanya tertumpu pada kerja semata-mata.

“Saya mewakili guru dan kakitangan sekolah berharap agar majlis sebegini dapat terus diadakan untuk tahun-tahun berikutnya,” tuturnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok