Cikgu Nurianah
Cikgu Nurianah

SK Pasukan Polis Hutan, anjur Pencarian Hafaz Cilik untuk murid pendidikan khas

AZLEENDA SAHALUDIN
19 Apr 2023 11:46am
A
A
A

Bulan Ramadan akan melabuhkan tirainya tidak lama lagi dan ramai merebut peluang mengerjakan amalan wajib dan sunat bagi meraih ganjaran pahala berlipat ganda yang hanya ditawarkan pada bulan ini.

Masing-masing tidak melepaskan peluang keemasan ini bagi mengimarahkan lagi bulan mulia termasuklah warga pendidik dan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pasukan Polis Hutan, Perak, yang telah menganjurkan Program Ihya Ramadan.

Program yang berlangsung sepanjang Ramadan itu memberi kesedaran khususnya kepada murid sekolah tentang kepentingan menghidupkan bulan mulia ini.

Lebih menarik lagi, melalui program tersebut sekolah turut mengadakan Pencarian Hafaz Cilik melibatkan murid-murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK).

Cikgu Nurianah
Cikgu Nurianah



Menurut gurunya, Cikgu Nurianah Dais, program berbentuk pertandingan itu dilihat sangat bagus dan menarik kerana sekolah berpeluang mencungkil bakat anak-anak syurga ini yang mempunyai pelbagai keistimewaan.

“Murid MBPK ini mempunyai kekuatan yang tersendiri lebih-lebih lagi jika dibimbing oleh guru-guru hebat.

“Walaupun mereka ada yang mempunyai tantrum atau bahasa mudahnya mengamuk selain sukar untuk mengeluarkan suara disebabkan perasaan tidak yakin namun mereka masih mempunyai keberanian untuk membaca al-Quran semasa pertandingan Hafaz Cilik diadakan,” katanya.

Tambah Cikgu Nurianah lagi, persiapan telah dilakukan dua minggu sebelum pertandingan berlangsung di mana murid dan guru akan bersama-sama membaca dan menghafal al-Quran selama 30 minit pada waktu pertama sesi persekolah bermula.

Artikel Berkaitan:


Salah seorang murid yang terlibat pertandingan Pencarian Hafaz Cilik .
Salah seorang murid yang terlibat pertandingan Pencarian Hafaz Cilik .



“Alhamdulillah, program ini juga dapat membantu MBPK membina keyakinan diri dalam mengalunkan bacaan ayat suci.

“Saya yakin dengan didikan dan dorongan daripada guru-guru, mereka dapat menceburi bidang hafazan al-Quran ini di peringkat yang seterusnya,” ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok