SK Taman Alam Megah selesa status bukan pilihan
Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Alam Megah, Shah Alam, Selangor lebih selesa dengan status pasukan bukan pilihan apabila berdepan SK Seksyen 20 (juga dari Shah Alam) dalam perlawanan akhir Piala Raja Muda Selangor pada Selasa.
Malah Ketua Jurulatih SK Taman Alam Megah, Mohamad Zool Hilmy Mohd Yusof mengakui tahap disiplin tinggi ketika mengejutkan juara bertahan SK Seri Selangor memacu kemaraan pasukan itu ke perlawanan akhir edisi ke-34 kali ini.
“Alhamdulillah, kami lebih suka meletakkan diri sebagai pasukan 'underdog' berdasarkan status kualiti dimiliki pasukan lawan SK Seksyen 20, Shah Alam pada ketika ini.
“Biarpun begitu saya percaya para pemain SK Taman Alam Megah memiliki keinginan tinggi untuk membuktikan sesuatu apatah lagi setelah berada pada tahap ini.
“Malah para pemain pada ketika ini lebih bersemangat untuk membuktikan bahawa kehadiran SK Taman Alam Megah akan memberi impak tinggi.
“Saya juga berharap setiap pemain yang diberikan tanggungjawab beraksi di pentas final akan memanfaatkan peluang sebaik mungkin untuk mereka pergi lebih jauh dalam sukan ini,” katanya.
SK Taman Alam Megah mara ke perlawanan akhir selepas menyingkirkan juara bertahan SK Seri Selangor, 1-0 dalam aksi separuh akhir.
Sementara itu, SK Seksyen 20 pula mengesahkan kemaraan ke perlawanan akhir selepas membelasah SK Puchong, 6-0 dalam satu lagi aksi separuh akhir.
SK Taman Alam Megah akan berentap dengan SK Seksyen 20 dalam perlawanan akhir di Padang Latihan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Shah Alam.
Sebagai rekod, Piala Raja Muda Selangor merupakan kejuaraan bola sepak Bawah 12 tahun melibatkan penyertaan sekolah-sekolah rendah seluruh Selangor yang mendapat tajaan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS Berhad).