
Tersenarai 3 teratas, SRI Integrasi Puncak Jalil bongkar rahsia kejayaan mereka!
Sekolah Rendah Islam (SRI) Integrasi Puncak Jalil, Seri Kembangan, Selangor tersenarai sebagai tiga sekolah teratas sekali gus menerima Anugerah Sekolah Terbaik Peringkat Gabungan Sekolah Islam Selangor (GASIS) Kategori (A) bagi Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) 2024.
Pengiktirafan yang diberikan dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan GASIS 2025 di Pacific Regency Beach Resort, Port Dickson, Negeri Sembilan Ahad lalu, memberi peluang kepada SRI Integrasi Puncak Jalil membawa pulang sebuah trofi dan sijil penghargaan.
Menurut Guru Besarnya, Syafieka Nadia Mohd Nazri, kejayaan sekolah dalam kategori yang dipertandingkan memberi kejutan kepada seluruh warganya.
"Ini merupakan kali pertama SRI Integrasi Puncak Jalil menerima anugerah berkenaan dengan skor Gred Purata Sekolah (GPS) 1.37 iaitu 40 peratus daripada calon keseluruhan memperoleh gred Mumtaz dan Jayyid Jiddan.
"Sesungguhnya pengiktirafan ini bukan sesuatu yang mudah kerana kami perlu bersaing dengan 175 buah sekolah lain," katanya secara eksklusif kepada Sinar Bestari.
Ujar Syafieka Nadia, dia amat bersyukur dan gembira atas kejayaan yang telah dicapai oleh murid-murid dan guru-guru yang telah bertungkus-lumus memberikan keputusan terbaik dalam PSRA 2024.

"Kejayaan ini bukan sahaja menjadi bukti kepada usaha gigih, dedikasi dan semangat juang yang tinggi dalam mengejar kecemerlangan, malah ia turut mencerminkan komitmen semua pihak dalam memastikan pendidikan sentiasa berada di tahap terbaik.
"Semoga kejayaan berkenaan menjadi inspirasi kepada semua dan membuka lebih banyak ruang untuk terus cemerlang di masa hadapan," jelasnya.
Sementara itu, Penyelaras PSRA, Nur Ishmah Zainal Abidin berkata, seramai 80 calon murid telah menduduki peperiksaan tersebut.

Ujar beliau, pelbagai inisiatif telah dilakukan pihak sekolah dalam memastikan murid-murid mendapat keputusan yang cemerlang.
"Antaranya mengadakan kelas tambahan intensif pada setiap hari (waktu petang) selama satu jam selepas sesi persekolahan.
"Kami juga mengadakan sesi latih tubi dan bengkel teknik menjawab soalan sebelum murid-murid menduduki peperiksaan," ujarnya.
Mengulas tentang rahsia kejayaan sekolah, Nur Ishmah berkata, kejayaan mereka mungkin datang daripada hasil usaha, doa dan tawakal seluruh warga sekolah khususnya murid-murid dan guru kerana sentiasa komited menjalankan tugas serta ibu bapa yang berterusan memberi sokongan kepada sekolah.

