Rose Aza meninjau sesi pembukaan hari pertama persekolahan 2025/2026 di SJKC Kong Aik.
Rose Aza meninjau sesi pembukaan hari pertama persekolahan 2025/2026 di SJKC Kong Aik.

Tiada murid Tahun Satu bangsa Cina daftar masuk di SJKC Kong Aik

NURUL HIDAYAH HAMIDNURUL HIDAYAH HAMID
18 Feb 2025 10:28am

Tiada murid Tahun Satu berbangsa Cina yang mendaftarkan diri di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kong Aik di Mata Ayer, di sini, pada hari pertama sesi persekolahan 2025/2026 di Perlis pada Isnin.

Sebaliknya, sesi kemasukan SJKC Kong Aik tahun ini menyaksikan kemasukan 23 murid tahun satu berbangsa Melayu dan Siam.

Pengarah Pendidikan Perlis, Rose Aza Che Arifin berkata, trend peningkatan kemasukan murid bukan Cina ke sekolah SJKC semakin ketara termasuk di SJKC Kong Aik.

Beliau berkata, perkembangan ini didorong oleh faktor lokaliti serta minat ibu bapa terhadap pembelajaran Bahasa Mandarin.

"Faktor lokaliti memainkan peranan dalam hal ini kerana di sekeliling sekolah terutama Pekan Mata Ayer adalah kawasan majoriti bangsa Melayu serta murid Cina dilihat lebih banyak ke Sekolah Kebangsaan (SK).

"Ibu bapa dan penjaga murid Melayu, Siam dan India pula lebih senang ke sekolah itu disebabkan jarak dekat dengan rumah serta mengambil peluang untuk anak mempelajari Bahasa Mandarin," katanya.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita selepas tinjauan sesi pembukaan hari pertama persekolahan 2025/2026 di SJKC Kong Aik, Mata Ayer dan SK Jelempok, di sini, pada Isnin.

Rose Aza turut menjelaskan, kelas prasekolah di SJKC Kong Aik yang menawarkan pembelajaran Bahasa Mandarin menjadi antara sebab utama ibu bapa memilih untuk menghantar anak mereka ke sekolah itu.

Artikel Berkaitan:

"Pada masa yang sama, keadaan ini juga mencerminkan semangat perpaduan kerana masih terdapat masyarakat Cina yang menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan," katanya.

Sementara itu, Guru Besar SJKC Kong Aik, Leong Yong Siang berkata, kemasukan murid berbangsa Cina di sekolahnya semakin menurun setiap tahun, sebaliknya murid berbangsa Melayu, Siam dan India pula lebih banyak mendaftar masuk ke sekolah itu.

"Pada tahun 2023, terdapat lima murid Cina mendaftar tahun satu, namun jumlah menurun kepada tiga murid sahaja tahun lalu dan tahun ini tiada seorang pun mendaftar," katanya.

Beliau menambah, secara keseluruhan, sekolah tersebut kini mempunyai 190 murid dengan jumlah murid Melayu paling ramai iaitu seramai 93 orang.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp