Sebahagian guru dan murid SK Bandar Utama Damansara 4 bergambar kenangan selepas berjaya menghimpunkan lebih 1 tan metrik sampah untuk dikitar semula.
Sebahagian guru dan murid SK Bandar Utama Damansara 4 bergambar kenangan selepas berjaya menghimpunkan lebih 1 tan metrik sampah untuk dikitar semula.

Trash Right himpun lebih 1 tan bahan kitar semula

NURBAYA ABDUL REZAK
08 Feb 2024 09:08am
A
A
A

Kesedaran tentang kepentingan mengurangkan penggunaan plastik sekali guna dan kesan alam sekitar juga semakin meningkat.

Bagaimanapun, pengetahuan tentang pengasingan sisa terutama yang terdiri daripada pelbagai jenis plastik, masih kurang.

Justeru, ramai yang masih keliru tentang bahan yang boleh dikitar semula dan proses pasca pengumpulan sisa.

Baru-baru ini, program Trash Right anjuran Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Utama Damansara 4 menutup tirai dengan jayanya.

Penganjuran itu bersandarkan misi membudayakan tabiat kitar semula sepanjang hayat yang proaktif dalam kalangan kanak-kanak sekali gus meningkatkan kesedaran tentang pengurusan sisa kitar semula secara betul dan menggalakkan pelupusan sisa yang bertanggungjawab oleh masyarakat Malaysia.

Sepanjang tempoh tiga bulan kempen itu, seramai 910 murid berjaya mengumpul sebanyak 1.33 tan metrik sisa plastik secara kolektif, mengatasi sasaran awal iaitu1 tan metrik.

Selain itu, bengkel mendidik para pelajar, guru dan ibu bapa tentang amalan pengasingan sisa yang cekap juga diadakan.

Ia merangkumi pengetahuan asas tentang cara mengenal pasti pelbagai jenis plastik kitar semula, langkah-langkah mencuci dan mengeringkan sisa sebelum dikitar semula serta tip praktikal untuk membudayakan kitar semula dalam kehidupan harian.

Artikel Berkaitan:

Untuk menggalakkan penyertaan pelajar dalam program Trash Right, SK Bandar Utama Damansara 4 turut memperkenalkan papan pemantauan kemajuan yang memberi dorongan kepada murid untuk mengitar semula sisa-sisa mereka secara aktif. ​

Guru Besar SK Bandar Utama Damansara 4, Yahya Abdul Karim berkata, murid-murid menunjukkan minat yang tinggi terhadap program itu apabila berjaya menghimpunkan sisa kitar semula dalam jumlah yang besar.

"Ada juga dalam kalangan murid mempromosikan cara pengasingan sisa yang betul kepada ahli keluarga mereka, manakala pihak guru turut berbincang dengan ibu bapa tentang kepentingan pengurusan sisa yang betul.

"Kami amat berbangga dengan penerimaan warga sekolah terhadap program kitar semula ini terutamanya selepas mendapat kesedaran bahawa usaha kolektif mereka boleh memberi impak bermakna kepada masyarakat," katanya kepada Sinar Bestari, baru-baru ini.

Untuk rekod, program Trash Right merupakan sebahagian daripada projek impak sosial Mondelēz International di Asia Tenggara.

Ia juga hasil kerjasama Trash4Cash bagi menangani sisa plastik multi-lapisan yang sukar dikitar semula secara mekanikal dalam jangka masa yang singkat.

Bagaimanapun, pengumpulan sisa plastik yang diuruskan dengan betul oleh sekolah memudahkan Trash4Cash menukar plastik kepada eco-board yang mempunyai banyak kegunaan termasuk dalam pembuatan perabot.

Mengiktiraf kepentingan memupuk tanggungjawab bersama untuk mencipta ekonomi bulat, pekerja Mondelēz International juga secara sukarela menyumbangkan masa mereka dan secara aktif terlibat dengan murid setiap dua minggu sepanjang proses pengumpulan sisa plastik.

Bagi merancakkan kerjasama dengan SK Bandar Utama Damansara 4, Mondelēz International bakal memasang tong-tong kitar semula yang diperbuat daripada plastik kitar semula dalam kawasan sekolah.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok