
50 pelajar daripada keluarga B40 terima Kotak Sumbangan Raya Gardenia
Ramadan bukan sekadar bulan ibadah, tetapi juga masa untuk bermuhasabah, menyemai nilai kemurahan hati dan mempereratkan lagi silaturrahim.
Seiring dengan komitmen ‘Sentiasa Bersamamu’, Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd menganjurkan majlis berbuka puasa di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tiara Permai, Kuala Lumpur bagi meraikan pelajar daripada keluarga B40 dalam suasana penuh keakraban dan keberkatan.
Seramai 50 pelajar terpilih dalam golongan tersebut menerima duit raya selain Kotak Sumbangan Raya yang mengandungi barangan keperluan asas seperti beras, gula, tepung, minyak masak, susu pekat, ‘roll-up wraps’ dan banyak lagi.
Pengurus Kanan Pemasaran Gardenia, Ena Suhaila Abas berkata, inisiatif berkenaan turut mendapat sokongan daripada Magnolia, Jasmine dan Central Sugar Refinery (CSR) bagi memastikan pelajar dan keluarga dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan lebih selesa serta bermakna.
“Penganjuran program ini sudah memasuki tahun kelima dan ia tidak akan menjadi kenyataan tanpa sokongan berterusan daripada pihak penaja yang sama-sama menjayakan inisiatif ini.
“Selain menyumbangkan makanan dan keperluan asas, program ini juga bertujuan menyebarkan kegembiraan serta membawa sedikit kemanisan Syawal kepada para penerima,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada usaha komuniti yang lebih luas, program Cahaya Ramadan Gardenia membawa mesej ‘Sinar Keberkatan dalam Setiap Kebaikan’, selari dengan misi syarikat dalam menyemarakkan nilai keprihatinan sepanjang bulan mulia.
“Di Gardenia, kami percaya bahawa Ramadan adalah masa untuk kita saling membantu dan berkongsi rezeki.
“Melalui program ini, kami berharap dapat menceriakan para pelajar dan keluarga mereka,” katanya lagi.
Majlis Berbuka Puasa Cahaya Ramadan Gardenia dirasmikan Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Megat Affandi Ismail.
Hadir sama Ketua Pegawai Operasi Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd, Derrick Khoo, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Zainuddin Mohamad dan duta Gardenia, Datuk Azizulhasni Awang.