Cikgu Massita (kanan) dan Edwin (kiri) ketika hadir pada perhimpunan rasmi sekolah bagi meraikan pelaksanaan Program Amalan Guru Penyayang baru-baru ini.
Cikgu Massita (kanan) dan Edwin (kiri) ketika hadir pada perhimpunan rasmi sekolah bagi meraikan pelaksanaan Program Amalan Guru Penyayang baru-baru ini.

SMK Taman Jasmin 2 didik pelajar beradab & berintegriti!

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
27 Mar 2025 04:54pm

Sekolah merupakan institusi pendidikan yang bukan sahaja berperanan menyampaikan ilmu, tetapi juga menekankan kepentingan adab dalam pembelajaran.

Dengan mengamalkan adab yang baik terhadap guru, rakan dan ilmu dipelajari, para pelajar dapat membentuk sahsiah diri dan berakhlak mulia sekali gus menjadi individu berdaya saing serta dihormati dalam masyarakat.

Baru-baru ini, Pengetua SMK Taman Jasmin 2, Kajang, Selangor, Massita Mohamed Sin meluahkan rasa sedih apabila wujud persepsi bahawa adab dan budi bahasa dalam kalangan generasi muda semakin terhakis.

Katanya, fenomena berkenaan bukan sekadar satu tanggapan kosong sebaliknya ia semakin membimbangkan apabila sikap biadab mula meresapi tingkah laku sebahagian golongan remaja.

Bagi membudayakan adab dalam kalangan pelajar, Cikgu Massita berkata, usaha berterusan perlu digerakkan oleh semua pihak termasuk sekolah, ibu bapa dan masyarakat.

Ini kerana katanya, institusi pendidikan memainkan peranan penting dalam menerapkan nilai-nilai murni melalui kurikulum, program kokurikulum dan aktiviti harian di sekolah.

Program Amalan Guru Penyayang yang dirangka untuk membudayakan sikap penyayang dalam kalangan guru di SMK Taman Jasmin 2.
Program Amalan Guru Penyayang yang dirangka untuk membudayakan sikap penyayang dalam kalangan guru di SMK Taman Jasmin 2.

Artikel Berkaitan:

"SMK Taman Jasmin 2 misalnya sentiasa melaksanakan program-program yang mampu merealisasikan nilai-nilai berkenaan.

"Salah satunya adalah Program Amalan Guru Penyayang yang dirangka untuk membudayakan sikap penyayang dalam kalangan guru di sekolah.

"Mereka (cikgu) digalakkan untuk membina hubungan baik dengan pelajar dan ibu bapa bagi menerapkan sifat kepedulian atau cakna dalam setiap perkara," katanya kepada Sinar Bestari.

Menurut beliau, tujuan pihak sekolah menganjurkan program yang memberi penekanan kepada adab adalah bagi menyahut salah satu tujuh teras utama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Teras kedua iaitu penekanan kepada aspek karamah insaniah melalui pembentukan adab, akhlak dan integriti dipilih bagi membentuk insan berbudi pekerti luhur dan berpegang teguh kepada nilai integriti.

"Kerana itu, amalan 3S iaitu Senyum, Sapa dan Salam turut diperkasakan di sekolah sebagai langkah proaktif bagi memupuk nilai murni dan adab pelajar.

"Dengan membudayakan 3S pada kehidupan seharian, diharapkan pelajar dapat menghayati kepentingan budi bahasa dan menerapkan adab yang baik dalam urusan seharian," ujarnya.

Perhimpunan sekolah, platform utama

Dalam perkembangan lain, Cikgu Massita berkata, perhimpunan sekolah memainkan peranan penting sebagai platform utama menerapkan dan menitikberatkan adab kepada pelajar.

Melalui sesi perhimpunan, para guru berpeluang menyampaikan nasihat, teguran dan peringatan berkenaan kepentingan budi bahasa, disiplin dan nilai murni dalam kehidupan seharian.

No Image Caption

Kebiasaannya kata beliau, barisan pentadbir dan kaunselor akan menanti seawal pukul 6.30 pagi di pintu pagar sekolah bagi menyambut kedatangan para pelajar.

"Dengan cara ini, kami dapat memupuk adab pelajar sejak mereka melangkah masuk ke kawasan sekolah. Amalan memberi salam, senyuman dan bertutur dengan sopan bukan sahaja membentuk disiplin diri, malah turut menanam rasa hormat antara pelajar dan warga sekolah," katanya.

Terdahulu, satu persembahan tarian singa yang dibawakan Datuk Edwin Khoo selaku rakan strategi dan penaja tarian Singa, telah diadakan di perhimpunan rasmi SMK Taman Jasmin 2 dengan tujuan memperkenalkan kepelbagaian budaya serta memupuk nilai hormat-menghormati dalam kalangan pelajar.

Persembahan ini bukan sekadar hiburan, malah menjadi platform pendidikan yang mengajar pelajar tentang kepentingan menghargai warisan budaya pelbagai kaum di Malaysia.

Dengan adanya aktiviti seperti ini, pelajar dapat memahami dan menghayati nilai-nilai murni seperti toleransi, keharmonian serta adab dalam berinteraksi dengan masyarakat berbilang kaum.

No Image Caption

Menerusi perhimpunan istimewa yang dihadiri Edwin selaku tetamu istimewa, beberapa tetamu kehormat hadir sama bagi memeriahkan majlis.

Mereka adalah Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Perancangan, Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Langat, Hasnul Hadi Ayub; dua wakil Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Mohd Sharhan Ismail dan Izzat Norizan; ibu bapa serta para pelajar yang teruja menyaksikan persembahan tarian singa itu.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp