
70 pelajar cemerlang dilantik Duta Harapan YP Smart Target SPM 2025
Seramai 70 pelajar Tingkatan Lima terbaik Negeri Perak dilantik sebagai Duta Harapan Yayasan Perak (YP) Smart Target SPM 2025 menerusi Program Motivasi JNBA 2.0 bersama Cikgu Saarani baru-baru ini.
Majlis berprestij yang berlangsung di Casuarina Convention Centre, Meru, Ipoh itu turut disaksikan ribuan pelajar Tingkatan Lima yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.
Menurut kenyataan media yang dikirimkan kepada Sinar Bestari, pelantikan itu bukan sahaja sebagai pengiktirafan, malah menjadikan 70 pelajar tersebut simbol kekuatan, inspirasi dan pembakar semangat kepada rakan sebaya di seluruh negeri.
"Mereka diangkat sebagai ikon kecemerlangan akademik dengan misi yang jelas, iaitu melahirkan lebih ramai calon cemerlang straight A+ SPM 2025 sekali gus meneruskan momentum kejayaan program siri pertama tahun lalu.

"Duta Harapan berperanan sebagai agen penggerak semangat dan budaya belajar dalam kalangan pelajar lain, selain membina daya kepimpinan serta ketahanan mental untuk berhadapan dengan cabaran akademik," jelas kenyataan itu.
Program Motivasi JNBA 2.0 bersama Cikgu Saarani turut menampilkan pengisian menarik antaranya sesi perkongsian bersama dua tokoh motivasi berpengalaman, Fadly Samin dan Zaki Zainal.
Menerusi pengisian tersebut, para pelajar didedahkan dengan strategi membina keyakinan diri, keberanian dan tekad baharu dalam menghadapi peperiksaan yang dianggap sebagai salah satu medan terpenting dalam kehidupan remaja.

Usaha berterusan YP ini membuktikan komitmen negeri dalam memperkasa sistem pendidikan seterusnya memastikan setiap anak Perak diberi ruang menyerlahkan potensi mereka.
Langkah ini diharapkan dapat melahirkan generasi pelajar berdaya saing yang mampu mengharumkan nama negeri di pentas SPM 2025.

Ringkasan AI
- Seramai 70 pelajar Tingkatan Lima terbaik Negeri Perak dilantik sebagai Duta Harapan Yayasan Perak Smart Target SPM 2025
- Majlis pelantikan berlangsung di Casuarina Convention Centre, Meru, Ipoh disaksikan ribuan pelajar Tingkatan Lima
- Pelantikan ini sebagai pengiktirafan dan menjadikan mereka simbol kekuatan, inspirasi dan pembakar semangat bagi pelajar lain
- Duta Harapan berperanan sebagai agen penggerak semangat, budaya belajar dan membina ketahanan mental
- Program Motivasi JNBA 2.0 menampilkan sesi perkongsian dengan tokoh motivasi dan strategi membina keyakinan diri