![Gelagat murid-murid sekolah rendah pada hari pertama sesi persekolahan 2025/2026 di Sekolah Kebangsaan Taman Pelangi, Hulu Langat pada Isnin. - Foto Bernama](https://www.sinarharian.com.my/sinarbestari/uploads/images/2025/02/17/3011100.jpg)
Teruja hari pertama sekolah, ‘Anak saya bangun seawal 5.30 pagi’
Hari pertama persekolahan sering menjadi detik yang paling dinanti-nantikan oleh pelajar terutamanya mereka yang baru memasuki alam persekolahan.
Seorang ibu yang merupakan suri rumah, Siti Fatimah Rozlan, 36, berkongsi pengalaman menarik mengenai kedua-dua anaknya yang terlalu teruja ke sekolah sehingga bangun seawal 5.30 pagi.
“Seorang anak saya Tahun 4 dan yang kecil baru masuk darjah 1. Memang kedua-duanya tidak menangis.
“Biasanya mereka berdua liat nak bangun pagi tetapi hari ini, kedua-duanya kelihatan teruja untuk ke sekolah. Lebih-lebih lagi, sekolah baharu,” katanya secara eksklusif bersama Sinar Bestari pada Isnin.
![SITI FATIMAH](https://www.sinarharian.com.my/sinarbestari/uploads/images/2025/02/17/3011101.jpg)
Sebagai rekod, Sekolah Kebangsaan Taman Pelangi Semenyih, Hulu Langat merupakan sekolah baharu yang dibuka bagi sesi persekolahan 2025/2026.
Seramai 1,005 pelajar telah mendaftar masuk meliputi pelajar pra sekolah hingga darjah 6.
Ditanya mengenai infrastruktur sekolah baharu, Siti Fatimah mengakui institusi pendidikan berkenaan hampir lengkap meskipun bangunan baharu siap dibina.
“Kalau saya tengok keadaan sekolah, memang terbaik daripada sekolah anak saya sebelum ini.
“Meja pun masih baharu, keadaan sekolah juga masih bersih. Setakat ini, saya berpuas hati dengan pentadbiran sekolah,” katanya.
![Gelagat murid-murid sekolah rendah pada hari pertama sesi persekolahan 2025/2026 di Sekolah Kebangsaan Taman Pelangi. - Foto Bernama](https://www.sinarharian.com.my/sinarbestari/uploads/images/2025/02/17/3011108.jpg)
Bagi ibu bapa, ini merupakan pengalaman yang penuh dengan emosi kerana perlu menstabilkan keadaan anak masing-masing.
Ibu bapa memainkan peranan penting dalam menyediakan anak-anak secara mental
Antara langkah yang boleh diambil adalah menceritakan pengalaman positif dan menyeronokkan kepada anak-anak supaya mereka lebih bersemangat.