No Image Caption

4 persediaan awal sertai pertandingan inovasi secara bersemuka

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
07 Feb 2023 04:59pm

Selepas dua tahun berdepan dengan pandemik yang menyekat segala aktiviti fizikal, kini semua kokurikulum sekolah dapat dilaksanakan secara bersemuka.

Terdapat pelbagai aktiviti yang telah dirancang sama ada pihak sekolah atau orang luar untuk murid sekolah menonjolkan bakat dan kreativiti mereka.

Ini termasuklah pertandingan inovasi yang membuka peluang kepada murid sekolah sama ada sekolah rendah atau menengah dalam memperlihatkan kebolehan mereka serta keupayaan mencipta, mewujud dan menghasilkan sesuatu yang baharu dan asli.

Dengan pertandingan inovasi ini juga murid dapat didedahkan dengan maklumat tambahan selain membantu mengharumkan nama sekolah.

Bagi menyertai pertandingan ini terdapat beberapa persediaan awal yang perlu dilakukan oleh guru dan murid terlibat supaya dapat melakukan perancangan dengan teliti dan berkesan.

Cikgu Muhammad Sabiq
Cikgu Muhammad Sabiq

Untuk itu, Cikgu Muhammad Sabiq Mohd Noor dari Sekolah Kebangsaan (SK) Nusa Damai, Pasir Gudang Johor ingin berkongsi kepada pembaca Sinar Bestari empat persediaan awal yang perlu dilakukan apabila menyertai pertandingan inovasi lebih-lebih lagi ia dilaksanakan secara bersemuka.

*******

Artikel Berkaitan:

Empat persediaan awal bagi menyertai pertandingan inovasi secara bersemuka

1) Dokumen utama, lampiran dan bahan tambahan

Guru dan para peserta perlu menyediakan bahan wajib terlebih dahulu seperti laporan serta produk inovasi dan poster pameran untuk tujuan penilaian. Namun terdapat beberapa perkara lain yang harus dititiberatkan sebelum pertandingan bermula antaranya penyediaan poster mengikut saiz yang telah ditetapkan. Bagi laporan inovasi pula hendaklah dibukukan secara tape binding atau comb binding supaya helaian lebih tersusun dan tidak berterabur.

2) Melawat lokasi pertandingan

Lokasi pertandingan wajar dilawati sehari sebelum hari pertandingan bergantung kepada kebenaran pihak penganjur. Ia bertujuan untuk mengenal pasti kedudukan meja pameran berdasarkan pelan lantai yang disediakan. Ini penting supaya peserta dapat merancang susunan bahan-bahan pertandingan di samping menghias meja pemeran.

3) Susunan bahan pameran

Kebiasaannya penganjur pertandingan akan menyediakan sebuah meja dan papan pemeran untuk kegunaan peserta. Kedudukan dokumen dan bahan-bahan juga memainkan peranan bagi memastikan setiap pergerakan berjalan lancar. Sebagai cadangan, mulakan dengan mempamerkan poster penerangan yang mempunyai maklumat awal mengenai produk.

4) Kemahiran komunikasi

Pembentangan lisan merupakan salah satu komponen penilaian juri bertujuan untuk melihat keupayaan peserta menerangkan sesuatu produk. Sebagai permulaan, peserta boleh meringkaskan laporan inovasi dengan menerangkan isi penting. Ini dapat membantu peserta meringkaskan laporan dengan memfokuskan perkara penting mengenai produk yang dihasilkan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp