SM Al Amin, Gombak adakan lawatan sambil belajar ke Kumpulan Karangkraf

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
08 Feb 2023 04:59pm

Lawatan sambil belajar dalam kalangan pelajar sekolah bukan lagi satu perkara asing malah ia dilihat membantu memberi pengalaman bermakna buat mereka sebelum menempuh dunia pekerjaan kelak.

Lawatan ini juga dilihat sebagai aktiviti yang mampu memberi gambaran awal kepada pelajar sekolah dalam memupuk minat mereka terhadap sesuatu kerjaya.

Melihat kepada kebaikan lawatan sambil belajar ini, Sekolah Menengah (SM) Al Amin, Gombak telah mengunjungi Kumpulan Karangkraf, Shah Alam, yang melibatkan pelajar-pelajar Tingkatan Satu hingga Empat.

Menurut guru pembimbing sekolah berkenaan, Cikgu Farah Hani Kasman, Kumpulan Karangkraf dipilih tempat lawatan pertama pelajar adalah untuk memperlihatkan mereka tentang dunia pekerjaan pengamal media tempatan.

“Pada awalnya saya agak terkejut mendengar ada sesetengah pelajar yang tidak tahu kewujudan Karangkraf selama ini.

“Dengan lawatan hari ini diharapkan sedikit sebanyak memberi pendedahan kepada mereka bagaimana media terutamanya wartawan menjalankan tugas dalam menghasilkan berita kepada pembaca.

“Ini juga untuk menarik minat mereka sekiranya ingin menceburi bidang berkenaan satu hari nanti,” ujarnya kepada Sinar Bestari.

Artikel Berkaitan:

Tambah Cikgu Farah, lawatan tersebut juga adalah untuk memenuhi masa terluang pelajar yang baru sahaja tamat peperiksaan baru-baru ini.

Katanya, melihat kepada penerimaan positif dari Kumpulan Karangkraf, sekolah berbesar hati mengadakan lawatan buat kali kedua pada masa akan datang.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp