Calon STPM yang dibantu menerusi Ops Payung dihantar ke sekolah bagi menduduki peperiksaan itu.
Calon STPM yang dibantu menerusi Ops Payung dihantar ke sekolah bagi menduduki peperiksaan itu.

Calon STPM terkesan banjir dibantu menerusi OPS Payung PPD

ASYIKIN ASMINASYIKIN ASMIN
11 Mar 2025 01:16pm

Calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang terkesan banjir telah dihantar ke sekolah bagi membolehkan mereka menduduki peperiksaan tersebut yang berlangsung minggu ini.

Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin berkata, Ops Payung yang dilaksanakan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Tenom antara inisiatif untuk membantu mangsa banjir melibatkan calon ulangan Semester 2 STPM 2024 di negeri ini.

"Untuk makluman, Ops Payung PPD Tenom dibantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah mengambil calon ulangan Semester 2 STPM 2024 dari rumah mereka yang terkesan akibat banjir untuk dihantar ke asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tenom.

"Jadi setakat ini, semua calon dapat menduduki peperiksaan STPM," katanya pada Selasa.

Jelas beliau lagi, secara keseluruhannya kesemua calon peperiksaan tidak terkesan banjir juga dapat menduduki peperiksaan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Raisin memaklumkan setakat jam 10 pagi Selasa, sebanyak 39 sekolah di bawah tiga PPD iaitu Beaufort, Papar dan Tenom yang terjejas akibat banjir telah ditutup.

"Sebanyak 31 sekolah berada di bawah PPD Beaufort dan masing-masing empat sekolah di bawah PPD Papar serta PPD Tenom.

"Jumlah keseluruhan yang terlibat masing-masing seramai 11,926 pelajar dan 1,217 guru," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp