‘Dia berjaya sebab bakat, bukan kerana bapanya Lan Solo’
Peribahasa ‘ke mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi’ sering kali dikaitkan dengan anak-anak yang mengikut jejak langkah ibu atau bapa, terutama dalam dunia seni dan hiburan.
Namun, bagi Nur Amna Qaleesya Mohd Razlan, 15, anak kepada penyanyi terkenal Lan Solo, bakatnya dalam bidang seni bukanlah semata-mata kerana nama bapa, tetapi berlandaskan bakat serta usaha gigihnya sendiri.
Menurut ibunya, Nur Sheila Hassim, 39, kebolehan Nur Amna Qaleesya dapat dilihat sejak umurnya berusia tiga tahun apabila dia suka menari apabila muzik dimainkan.
“Sejak umurnya tiga tahun lagi, saya sudah nampak dia suka menari kalau muzik dimainkan walaupun hanya lagu ‘baby shark’, dia akan goyang-goyangkan badan.
“Masa itu, saya rasa mungkin sebab dia budak lagi, jadi saya tak ambil serius sangat. Tetapi bila masuk sekolah rendah, saya perasan dia mula sertai persembahan tarian atau apa-apa pertandingan menari.
“Sampailah ketika dia berada di Tahun 6, saya nampak dia lebih obses kepada lakonan dan tarian. Keutamaan dia tarian tradisional,” katanya secara eksklusif bersama Sinar Bestari pada Khamis.
Meskipun sering dikaitkan dengan Lan Solo, Nur Sheila merangkap pengurusnya berkata, bakat anak sulungnya itu hasil titik peluh sendiri tanpa bantuan mana-mana pihak.
Ujarnya, sebagai ibu dan bapa, mereka hanya memberi sokongan serta dorongan kepada anaknya untuk meneruskan impian sebagai penari tradisional.
“Saya rasa ibu bapa tidak perlu mengatur kehidupan anak-anak. Biarlah mereka memilih cita-cita masing-masing.
“Kalau mereka suka dengan sesuatu bidang itu, biarkan mereka kejar impiannya. Namun, belajar tetap perlu diutamakan kerana itu asas dalam pendidikan,” katanya.