FSK UiTM Kampus Bertam anjur terapi cara kerja untuk kanak-kanak bersekolah
Universiti Teknologi Mara (UiTM) menerusi Fakulti Sains Kesihatan (FSK) Kampus Bertam, Pulau Pinang, telah bekerjasama dengan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kepala Batas untuk mengadakan sebuah program komuniti bersama pelajar sekolah berkenaan baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan UiTM, program ‘Community Engagement- Occupational Therapy for School Children’ itu melibatkan 39 pelajar Tingkatan Lima serta 32 Murid Berkeperluan Khas (MBK).
Ujarnya, penganjuran program itu bertujuan mengaplikasikan kursus yang diambil oleh mahasiswa FSK di bawah Program Diploma Pemulihan Cara Kerja kepada pelajar sekolah terbabit.
Jelas kenyataan itu lagi, aktiviti kemahiran motor dan multisensori adalah pengisian program bersama MBK sementara sesi ceramah dan penilaian kualiti tidur diadakan untuk pelajar Tingkatan Lima.
“Semua mahasiswa yang terlibat bertindak sebagai fasilitator dalam kedua-dua program tersebut.
“Program ini menjadi satu platform untuk mahasiswa kongsikan kepada pelajar tentang kepentingan tidur yang mencukupi.
“Sementara itu, aktiviti bersama MBK memberi peluang untuk mereka mengenal pasti gangguan motor dan sensori dalam kalangan MBK selain memberi idea berkaitan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) kepada guru,” katanya.
Program tersebut yang diadakan di SMK Kepala Batas telah dirasmikan oleh Pengetuanya, Mohamad Rafei Yaakob serta dihadiri barisan pensyarah-pensyarah UiTM, Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas, guru-guru dan pembantu murid yang terlibat.
Beritahun UiTM, sekolah memberi maklum balas positif serta kerjasama yang diberikan pelajar kepada mereka juga sangat baik.
Katanya, kebolehan peserta untuk menunjukkan kreativiti dan melakukan pembentangan projek amat dikagumi.