Zuhayr bersama ibunya, Nornailah.
Zuhayr bersama ibunya, Nornailah.

Hidap cerebral palsy, Zuhayr lancar hafaz al-Quran

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
22 Mar 2024 11:05am

Menghidapi cerebral palsy yang merupakan gangguan kemampuan dalam mengawal pergerakan dan koordinasi tubuh badan serta masalah pertuturan tidak menghalang adik Tuan Zuhayr Al-Mundzir Tuan Mohd Azreen Azhar lancar melafazkan alunan al-Quran.

Pelajar Tingkatan Satu dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cyberjaya itu berjaya menyentuh hati setiap penonton yang menyaksikan alunan hafazan surah ar-Rahman ketika program Ziarah Ramadan Anak Istimewa anjuran Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).

Menurut ibunya, Nornailah Mohd Fadli, 37, pada awalnya ketika diberitahu akan masalah pertuturan dihadapi Zuhayr yang sedikit sebanyak menganggu pembelajaran sebagai ibu turut merasa sedih.

Namun, hari demi hari setelah dapat mengkaji dan mencari keupayaan anaknya melalui al-Quran apatah lagi kitab suci itu merupakan satu terapi, dia mengambil langkah proaktif dengan mendedahkan Zuhayr melalui pembacaan dan seterusnya hafazan.

“Alhamdulillah, mak mana tak suka anak cintakan al-Quran dan Zuhayr mengambil masa lebih lama berbanding anak normal lain iaitu selama tujuh tahun untuk belajar Iqra’ sebelum meneruskan dengan pembacaan al-Quran.

“Ia merupakan satu proses lama tetapi apabila otak dia sudah tahu bagaimana hendak menyebut bait-bait kitab suci saya terus membuka peluang untuknya dengan hafazan al-Quran.

“Saya lihat membaca al-Quran ini menjadi latihan yang baik untuk otak dan pertuturan dia,” katanya ketika ditemui Sinar Bestari pada Khamis.

Bercerita lanjut mengenai keadaan Zuhayr di sekolah, Nornailah memberitahu, ia agak sukar untuk anak sulungnya itu beradaptasi lebih-lebih lagi kelasnya berada di tingkat satu yang memerlukan dia memanjat tangga dengan keadaan bertongkat.

Artikel Berkaitan:

Cabaran itu terpaksa dilalui memandangkan Zuhayr merupakan pelajar yang pintar sehingga mendapat nasihat guru-guru di sekolah rendahnya untuk meneruskan pembelajaran di kelas aliran perdana berbanding kelas aliran Istimewa.

“Memang difahamkan di sekolah menengah ini tidak ada kelas di bawah dengan saya bekerja jadi tidak dapat hantar Zuhayr terus ke kelasnya di tingkat satu.

“Dia sekolah sesi petang, apabila saya hantar pelajar sesi pagi masih belum tamat belajar. Terpaksalah saya hantar ke pejabat sekolah dahulu dan mengharapkan bantuan rakan dan guru-guru untuk membantu.

“Setakat ini juga, pentadbiran sekolah sentiasa bertanya akan keadaan ini,” jelasnya lagi.

Melihat kepada situasi ini ditambah pula dengan kebolehan Zuhayr dalam bidang pengajian al-Quran telah mendorong Nornailah untuk menghantar anaknya ke Kelas Aliran Agama (KAA).

Akan tetapi menurut pembantu tadbir itu, permohonan pertama anaknya telah ditolak dan kini dalam proses rayuan ke kelas tersebut.

“Saya amat berharaplah Zuhayr dapat meneruskan pembelajaran menerusi KAA sebab dia memang minat dalam menghafal dan membaca al-Quran.

“Dia juga merupakan pelajar cemerlang dan pernah menerima anugerah ketika di sekolah rendah.

“Semoga rayuan Zuhayr dapat dipertimbangkan sebab anak yang macam ini tidak banyak pilihan sekolah, nak ke MRSM atau SBP tak boleh sebab keterbatasan fizikalnya,” ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp