Kongsi Rezeki SMK Putrajaya Presint 5 (1), seiring usaha KPM lahirkan ‘Anak Yang Baik Lagi Cerdik’

AZLEENDA SAHALUDIN
26 Apr 2023 02:43pm
A
A
A

‘Anak Yang Baik Lagi Cerdik’ atau ABC merupakan slogan yang dicetuskan Ketua Pengarah, Kementerian Pendidikan (KPM), Datuk Phkaruddin Ghazali bertujuan memfokuskan melahirkan pelajar sekolah yang bukan sahaja cerdik semata-mata tetapi turut mempunyai sahsiah diri terpuji.

Slogan tersebut dihasilkan sebagai usaha KPM memberi pemahaman yang mudah diterima oleh semua lapisan masyarakat untuk dihayati.

Seiring dengan usaha berkenaan, badan pengawas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 5 (1) telah mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan program Kongsi Rezeki bersama warga sekolah serta komuniti setempat.

Menurut Pengetua sekolahnya, Thalsiah Mohd Salleh@Hassan, program berkenaan dianjurkan bagi melahirkan lebih ramai modal insan unggul, persekitaran pembelajaran kondusif, kepimpinan sekolah berkualiti serta komitmen ibu bapa dan komuniti yang padu.

Tambah beliau, program Kongsi Rezeki itu telah dijalankan pada Ramadan lalu bermula 5 hingga 16 April dengan mengunjungi anak-anak yatim dan asnaf yang tinggal di Rumah Pertubuhan Warisan Suci (PEWARIS) dan Rumah Bakti Nur Ain.

“Program berkenaan mengambil masa lebih kurang 12 hari, memberi didikan luar bilik darjah tentang konsep ABC yang merupakan cetusan idea Ketua Pengarah Pendidikan.

“Ia juga sejajar dengan usaha KPM yang telah menggariskan pembentukan adab, akhlak serta integriti sebagai elemen penting dalam membina karamah insaniah serta pentadbiran sekolah.

“Saya berharap dengan penganjuran program sebegini dapat diteruskan pada masa-masa akan datang dan secara tidak langsung pihak sekolah dapat melahirkan lebih ramai Anak Yang Baik lagi Cerdik (ABC),” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pelajar SMK Putrajaya Presint 5 (1), Raja Muhammad Aiman Haziq berkata, dia terharu dengan sambutan menggalakkan yang telah ditunjukkan oleh warga sekolah sepanjang kempen berlangsung.

Artikel Berkaitan:


"Saya amat bersyukur kerana inisiatif yang dipelopori oleh Badan Pengawas dapat mendidik kami, Warga SMK Putrajaya Presint 5 (1) untuk sentiasa membantu golongan yang memerlukan.

“Malah kegembiraan yang terpancar di wajah anak-anak kecil yang berumur antara 3 hingga 6 tahun di PEWARIS semasa kunjungan kami di sini sedikit sebanyak berjaya menambat hati dan tidak akan dilupakan sampai bila-bila,” tuturnya lagi.

Selain menyalurkan bantuan di Rumah PEWARIS, pihak sekolah turut memberi sumbangan kepada anak-anak yatim serta asnaf yang tinggal di Bakti Nur Ain.

Program Kongsi Rezeki ini bukan sahaja dapat melahirkan sahsiah diri terpuji dalam kalangan pelajar malah turut memberi pendedahan dan pendidikan luar bilik darjah kepada mereka.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok