Maktab Sabah angkat darjat keroncong
Walau ada pelbagai genre muzik di zaman ini tetapi melodi keroncong disifatkan tidak lapuk ditelan zaman apabila ia masih menjadi pilihan golongan muda untuk dijadikan sebagai penghawa telinga.
Malah ramai generasi muda sentiasa mengetengahkan genre keroncong yang pada mulanya dikembangkan di peringkat sekolah tetapi kini dibawa sehingga ke peringkat antarabangsa.
Usaha itu dibuktikan melalui perjalanan muzik keroncong oleh pelajar daripada kumpulan Orkes Keroncong Maktab Sabah yang bukan saja menyertai pelbagai pertandingan tetapi turut diundang ke Indonesia bagi meraikan keindahan alunan muziknya.
Penyanyi Orkes Keroncong dari Maktab Sabah, Alleysa Anne AK Alexander mengakui meminati nyanyian lagu bergenre itu dek keindahan melodinya.
Alleysa Anne, 17, berkata, ritmanya yang unik menunjukkan bahawa muzik keroncong agak berbeza dengan genre muzik lain.
"Malah, muzik keroncong mengajar saya tentang teknik vokal baik dalam pembawaan ritma yang umumnya bersifat improvisasi dan memerlukan penghayatan jiwa yang mendalam.
"Saya jadikan medium keroncong untuk mengembangkan bakat tidak kira dari peringkat mana pun sehingga pernah mewakili negara membuat persembahan keroncong di Solo Keroncong Festival di Pure Mingkunegaraan Garsopuro, Solo Kota Surakarta, Indonesia pada Julai lalu," katanya baru-baru ini.
Kongsi remaja itu, untuk menarik lebih ramai generasi muda meminati lagu keroncong tidak salah muzik itu divariasikan dengan lagu pop terkini.
"Pada pendapat saya, cara mengetengahkan lagu-lagu keroncong adalah dengan diberi nafas baharu agar anak muda meminati lagu-lagu keroncong termasuklah memainkan lagu pop terkini dengan membuat kelainan menggunakan alat muzik keroncong dan menggubah rentak lagu itu kepada versi muzik keroncong agar anak muda mendengar keindahan seni muzik keroncong.
"Generasi muda juga perlu diberi pendedahan awal khususnya murid-murid sejak di bangku sekolah rendah lagi dengan membuat pelbagai pertandingan nyanyian lagu keroncong," katanya.
Sementara itu, Shaafri Sakin sebagai guru muzik yang bertanggungjawab terhadap aktiviti muzik di Maktab Sabah berkata, sebuah program berbentuk kem muzik diadakan di sekolah itu.
Katanya, program itu baru saja berlangsung pada 1 hingga 3 Disember lalu di mana seramai 66 pelajar dari tiga sekolah dikumpulkan untuk diberi pendedahan mengenai muzik pop orkestra dan muzik keroncong.
"Sekolah yang terlibat ialah Maktab Sabah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tambunan dan Sekolah Kebangsaan (SK) Randagong, Ranau.
"Kem ini bertujuan untuk memberi pendedahan dan memberi tambahan ilmu kepada generasi muda yang mendalami bidang muzik keroncong dan pop orkestra bermula di peringkat sekolah.
"Diharap konsert kem muzik ini dapat diteruskan agar usaha pembangunan insan seimbang kepada pelajar melalui pengalaman muzikal, kesedaran estetik, mengembangkan daya komunikasi dan interaksi, memupuk disiplin dan kreativiti serta semangat perpaduan dapat dijayakan," katanya.