Pandu Puteri fokus generasi berkemahiran
Nur Aqilah ingin menjadi salah seorang ahli pasukan kepemimpinan yang kreatif, inovatif dan berani
“Persatuan Pandu Puteri banyak mendidik dan mengajar saya menjadi seorang pemimpin.” Itulah reaksi Nur Aqilah Ariesya Mohd Zamri, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tun Hussein Onn 2 (BTHO 2), Cheras, Selangor, apabila ditanya manfaat yang diperoleh menjadi ahli Persatuan Pandu Puteri.
Menurut pelajar Tingkatan Tiga itu lagi, setiap ahli persatuan juga perlu proaktif menguasai pelbagai kemahiran dalam usaha memastikan masing-masing mempunyai daya saing yang tinggi.
Ini kerana tambah Nur Aqilah, dengan menguasai pelbagai kemahiran ia dapat menghasilkan generasi berkemahiran dan berilmu.
“Pandu Puteri antara persatuan yang menyediakan pembelajaran tidak formal dan kita boleh pelajari pelbagai ilmu terutamanya kemahiran yang tidak diajar di dalam bilik darjah.
“Menjadi generasi muda hari ini dengan segala maklumat dihujung jari, secara tidak langsung dengan menyertai persatuan di peringkat sekolah ia dapat menyalurkan ilmu dan pengetahuan untuk membina generasi yang lebih baik.
“Menjadi ahli Pandu Puteri juga secara tidak langsung menjadikan kita seorang individu yang positif, memiliki jati diri tinggi, berdisiplin dan mempunyai semangat sukarelawan yang tinggi,” ujarnya ketika dihubungi Sinar Bestari, baru-baru ini.
Sememangnya bercita-cita ingin menyertai persatuan Pandu Puteri sebaik sahaja naik Tingkatan Tiga, ternyata ia menjadi kenyataan buat anak kedua daripada tiga adik beradik itu.
Malah penyertaannya di dalam persatuan tersebut bukan sekadar menjadi ahli biasa tetapi turut dilantik sebagai Naib Pengerusi.
Nur Aqilah yang sememangnya seorang pelajar aktif menyifatkan penglibatannya di dalam persatuan Pandu Puteri di sekolahnya membuka satu lembaran baharu dalam aktiviti hariannya.
Bijak membahagikan masa antara pelajaran dan juga persatuan, anak kelahiran Kuala Lumpur itu berjanji akan menggalas tanggungjawab yang telah diberikan kepadanya dalam usaha menjadikan persatuan Pandu Puteri platform kepada ahli-ahli lain sebagai pemimpin melalui pelbagai program didikan dan latihan kepanduan.
Aktiviti yang pernah disertai Nur Aqilah
Bercerita
Pidato
Bahas
Sahibba
Tee-ball
Softball
Tilawah al-Quran