
Amal surah al-Waqiah, Yasin rahsia pasangan kembar cemerlang STPM 2024
Kejayaan pasangan kembar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Sawa, Marang, Terengganu memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 membuktikan bahawa usaha berterusan dan kekuatan rohani menjadi kunci utama kejayaan.
Pasangan kembar seiras, Amira Bazilah Mohd Arizan dan Amira Basirah Mohd Arizan, 20, yang masing-masing memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00, menjadikan bacaan surah al-Waqiah dan Yasin sebagai rutin harian selain bangun seawal jam 3 pagi untuk mengulang kaji pelajaran.
Menurut Amira Bazilah, kejayaan itu adalah hasil usaha berterusan, disiplin tinggi dan doa tanpa putus daripada ibu bapa serta guru yang sentiasa memberi dorongan dan sokongan kepada mereka.
"Selepas solat Isyak, saya akan mengulang kaji pelajaran dan tidur sekitar jam 12 tengah malam. Kemudian (setiap hari) saya bangun jam 3 pagi untuk belajar semula, menunaikan solat sunat dan membaca surah Yasin selepas Subuh.
"Saya yakin doa memainkan peranan besar dalam kejayaan kami," katanya pada Selasa.

Bapa mereka, Mohd Arizan Kasim, 54, bekerja sebagai pemandu bas manakala ibu, Faridah Jemahat, 50, merupakan suri rumah.
Anak ketiga dan keempat daripada lima beradik itu berkata, mereka saling menjadi 'guru' antara satu sama lain dan tidak pernah berpisah sejak kecil.
"Kami pernah menerima tawaran untuk menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan awam di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), namun menolak kerana lebih cenderung meneruskan pengajian ke Tingkatan Enam," ujarnya yang tinggal di Kampung Gondang, di sini.
Mengimbau rutin persekolahan, Amira Bazilah berkata, mereka berdua akan menaiki motosikal setiap hari untuk ke sekolah yang terletak kira-kira empat kilometer dari rumah.
"Setiap hari kami ke sekolah bersama-sama. Syukurlah kami berdua berjaya mencapai keputusan yang sama dalam peperiksaan SPM dan STPM.
"Impian kami berdua adalah untuk menjadi pendidik dan berhasrat menyambung pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)," katanya.