Nur Hannah (tengah) menerima ciuman daripada ibu bapanya.
Nur Hannah (tengah) menerima ciuman daripada ibu bapanya.

Adab dengan guru & ibu bapa kunci kejayaan Tokoh SPM SMKA Naim Lilbanat 2024

ADILA SHARINNI WAHIDADILA SHARINNI WAHID
26 May 2025 08:30am

Kejayaan bukan hanya diukur melalui hafalan nota demi mengejar gred, sebaliknya lahir daripada keutamaan menjaga adab dengan guru demi memperoleh keberkatan ilmu yang disampaikan.

Bagi Tuan Nur Hannah Tuan Mohd Kamarul Azli, 18, prinsip itu menjadi panduan dalam menempuh kejayaan cemerlang dengan memperoleh 10A dan 1A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.

Lebih membanggakan, pelajar aliran sains tulen itu turut dinobatkan sebagai Tokoh SPM 2024 dan Tokoh Kepimpinan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat, Kota Bharu, Kelantan sempena Majlis Graduasi yang berlangsung Sabtu lalu.

"Bagi saya, yang paling utama ialah fokus sepenuhnya semasa dalam kelas.

"Apabila cikgu mengajar, itulah waktu paling berkat untuk kita ambil ilmu secara terus daripada guru dan mudah meresap ke dalam hati," katanya.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pengetua SMKA Naim Lilbanat, Ab Raisham Ab Rashid serta Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Mohd Fauzan Mohamed Mokhtar yang merasmikan acara.

Menurut Nur Hannah, keberkatan dalam menuntut ilmu tidak boleh dipandang ringan, malah bermula dengan adab - memberi perhatian ketika guru mengajar, tidak memandang rendah pada penjelasan serta menjaga akhlak sebagai anak murid.

Nur Hannah (dua dari kiri) bersama ibu bapanya menerima anugerah yang disampaikan oleh Mohd Fauzan (kanan) sambil diiringi Ab Raisham (dua dari kanan).
Nur Hannah (dua dari kiri) bersama ibu bapanya menerima anugerah yang disampaikan oleh Mohd Fauzan (kanan) sambil diiringi Ab Raisham (dua dari kanan).

Artikel Berkaitan:

"Kalau kita tak fokus masa cikgu mengajar, itu tandanya kita tak hormat.

"Bila tiada hormat, ilmu pun susah nak lekat," ujarnya yang berasal dari Pasir Puteh itu.

Dalam dunia pelajar cemerlang, ramai menyangkakan kejayaan datang daripada tekanan berlebihan dan jadual padat tanpa henti, namun Nur Hannah memilih pendekatan seimbang.

Beliau mengamalkan tidur dan rehat mencukupi, antara enam hingga lapan jam sehari, sebagai asas penting menjaga fungsi otak serta kestabilan emosi.

"Jangan paksa diri sampai tak cukup tidur.

"Bila badan letih, kita tak boleh hadam pelajaran. Belajar pun jadi sia-sia," tambahnya.

Sebagai pelajar asrama, Nur Hannah akur dengan jadual ketat yang disusun pihak sekolah. Namun baginya, disiplin itu bukan kekangan, malah satu kelebihan.

"Saya dah biasa ikut rutin. Apabila ada jadual, kita tahu bila masa nak belajar, bila nak rehat dan bila nak sertai aktiviti.

"Kita tak boleh belajar sahaja atau fokus sukan sahaja. Kedua-duanya penting untuk melatih disiplin dan kepimpinan," katanya yang juga menyandang jawatan Ketua Pelajar SMKA Naim Lilbanat 2024.

Berlatar belakangkan pendidikan agama dan penguasaan Bahasa Arab, beliau menyasarkan bidang teknologi maklumat serta memohon untuk melanjutkan pengajian dalam Asasi Sains Komputer di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dengan impian menjadi penganalisis data profesional.

Anak kepada pasangan Tuan Mohd Kamarul Azli Tuan Muhammad, 50, (peniaga barangan perkakas rumah) dan Wan Roslida Cik Kadir, 45, (suri rumah), turut mementingkan hubungan kekeluargaan yang erat yang menjadi tulang belakang kepada kejayaannya.

"Kejayaan ini saya tujukan kepada semua yang membantu saya, terutama ibu bapa dan para guru.

"Saya mahu kejar cita-cita sebagai pakar analisis data sampai berjaya sekali gus kembali memberi khidmat semula kepada masyarakat kelak," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp