Pelajar KV Keningau menang anugerah emas penulisan esei antarabangsa
Pelajar Kolej Vokasional (KV) Keningau, Sabah, Nurul Nadirah Naquyyah, 17, memenangi anugerah emas untuk penyertaan eseinya pada Pertandingan The Queen’s Commonwealth Essay Competition 2023 baru-baru ini.
Pertandingan global menulis esei itu, yang dianjurkan setiap tahun oleh Persatuan Komanwel Diraja di United Kingdom, terbuka kepada warganegara atau penduduk semua negara dan wilayah Komanwel.
Menurut Nurul Nadirah, dia berasa teruja apabila mendapat tahu dirinya merangkul anugerah emas dalam pertandingan tersebut.
“Bagaikan tidak percaya kerana standard pertandingan ini sangat tinggi dan menerima penyertaan yang banyak dari negara-negara Komanwel sehingga menjadikan pertandingan tersebut sengit dan mencabar.
“Alhamdulillah, mungkin ini rezeki yang ALLAH bagi. Insya-ALLAH kemenangan yang diraih akan dijadikan dorongan dan semangat untuk terus menulis artikel dan esei berkualiti kelak,” katanya yang menerima sijil anugerah emas menerusi emel dari penganjur yang turut menyampaikan ucapan tahniah.
Terdahulu, penulisan esei paling berprestij di dunia itu yang menampilkan tema Komanwel yang dipimpin oleh belia mengetengahkan dua kategori iaitu kategori senior bagi mereka yang berumur 14 sehingga 18 tahun dan kategori junior bagi mereka berusia 14 tahun ke bawah.
Dalam The Queen’s Commonwealth Essay Competition 2023, Nurul Nadirah menulis esei bahasa Inggeris berdasarkan subtema pertama kategori senior iaitu menulis teks ucapan raja negara Britain yang ditujukan untuk orang muda pada persidangan antarabangsa berhubung kemahiran membuat keputusan.
Dia telah mengulas beberapa isi penting yang menyokong pendapat utamanya iaitu memaksimakan penglibatan belia dalam proses membuat keputusan bagi dasar-dasar kerajaan.
Nurul Nadirah menyatakan bahasa kerja komuniti dan pergerakan bersifat akar umbi mampu membantu belia mencapai potensi penuh mereka serta mengasah kemahiran memimpin.
Malah, dia juga mengutarakan betapa pentingnya bagi golongan belia untuk berasa diri dihargai oleh negara mereka apabila suara dan buah fikiran didengari dan diperakui.
Dalam masa yang sama, Nurul Nadirah menekankan kepentingan mengamalkan sistem adil dan saksama bagi semua pihak untuk mewujudkan masyarakat bekerjasama dan inklusif.
Beri inspirasi
Sementara itu, Pengarah KV Keningau, Nordin Akup melahirkan rasa gembira dengan pencapaian Nurul Nadirah.
Katanya, kejayaan anak kelahiran Kampung Napong, Ranau, Sabah ini diharapkan dapat memberi inspirasi kepada pelajar-pelajar lain untuk turut serta menceburi bidang penulisan.
Mengulas lanjut, Nordin berkata, kemahiran menulis esei adalah kemahiran yang membantu pelajar berfikiran kritis, belajar mengumpul maklumat dan menganalisa serta kemahiran bahasa.
“Saya berharap setiap pelajar di kolej ini akan terus mengasah kemahiran menulis esei dengan memperbanyakkan bahan bacaan, termasuk esei ditulis penulis terkenal untuk memahami gaya penulisan yang berbeza.
“Pelajar juga diharapkan agar menunjukkan dedikasi dan kesungguhan dalam mengasah kemahiran menulis esei kerana ini akan membantu mereka mencapai kecemerlangan dalam bidang tersebut,” ujarnya.