Naveah telah membanggakan warga KV Keningau menerusi kejayaannya di Festival ‘Argentine Gathering’ 5 Ogos lalu.
Naveah telah membanggakan warga KV Keningau menerusi kejayaannya di Festival ‘Argentine Gathering’ 5 Ogos lalu.

Pelajar KV Keningau, Naveah raih tempat pertama pada Festival Argentine Gathering

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
22 Aug 2023 12:16pm

Puisi bertajuk ‘Peace’ hasil karya pelajar Kolej Vokasional (KV) Keningau, Sabah, Naveah Abila, 18, diumumkan pemenang pertama kategori Puisi Video pada Festival Argentine Gathering 5 Ogos lalu.

Menerusi kejayaan tersebut, Naveah menerima sijil pencapaian yang memberikannya markah bonus sekiranya menyertai pertandingan pada masa akan datang.

Ketika dihubungi Sinar Bestari, Naveah berkata, ‘Peace’ yang dihasilkannya itu berkisar tentang kehidupan seorang individu yang mencari jalan untuk meluahkan perasaan apabila berasa kecewa, murung dan tertekan.

“Saya menggunakan bunga dan bulan sebagai metafora di dalam puisi berkenaan.

“Ini kerana bunga membawa maksud cantik namun akan layu jika tidak dijaga dengan baik manakala bulan pula sebagai aspek positif kehidupan kerana sentiasa memancarkan cahaya pada waktu malam,” ujarnya.

Mengulas mengenai kemenangannya dalam Festival Argentine Gathering, Naveah yang merupakan pelajar diploma Program Pendidikan Awal Kanak Kanak meluahkan rasa gembira dan terharu kerana puisi itu mendapat perhatian juri pertandingan.

“Pengiktirafan di peringkat antarabangsa ini cukup berharga dalam diari hidup saya sebagai pelajar di KV Keningau.

“Jika tiada aral melintang, saya akan terus menghasilkan puisi-puisi indah untuk masa akan datang,” jelasnya dengan menambah puisi ‘Peace’ hasil ciptaannya itu boleh diakses melalui pautan https://youtu.be/aI3DfZZPmBQ

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Argentine Gathering adalah festival seni yang berpangkalan di Buenos Aires, Argentina anjuran Monolit Festivals telah menobatkan ramai bakat-bakat muda dalam dunia penulisan puisi.

Tahun lepas, pelajar dari kolej yang sama iaitu Siti Nur Hanisah Omar Hashim turut meraih tempat pertama menerusi puisi haiku dengan menjadikan ibu bapa dan suasana sekolah sebagai sumber inspirasi.

Haiku adalah puisi berasal dari Jepun dengan format tersendiri dan terdiri daripada tiga barisan ayat dengan suku kata spesifik iaitu lima suku kata bagi ayat pertama, tujuh suku kata bagi ayat kedua dan lima suku kata ayat terakhir.

Puisi haiku dianggap salah satu warisan budaya sastera Jepun yang selalunya bertemakan alam semula jadi.

Sementara itu, Pengarah KV Keningau, Christine Stanislaus Kinsik memuji usaha Naveah yang berjaya mengembangkan bakat menulisnya sehingga ke peringkat tertinggi.

"Saya berharap pelajar ini akan terus menghasilkan pelbagai lagi karya seni yang mampu mengasah bakat dalam bidang penulisan, persembahan, visual dan sebagainya,” kata Christine.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp