
Pelajar Tingkatan 3 maut disyaki terkena jangkitan kencing tikus selepas mandi sungai
Seorang pelajar Tingkatan Tiga meninggal dunia dipercayai terkena jangkitan kencing tikus atau leptospirosis selepas mandi di sungai di Hulu Besut, Terengganu.
Mangsa, Muhamad Amirul Hakim Suhaimi, 15, menghembuskan nafas terakhir ketika dirawat di Hospital Besut pada Isnin malam.
Ibunya, Mek Jarah Ahmad, 52, berkata, selepas kematian anak bongsunya itu barulah dirinya dimaklumkan bahawa Allahyarham mandi sungai bersama rakan-rakan.
"Saya diberitahu rakan-rakan arwah yang sebelum ini dia pernah mandi sungai bersama. Saya tak sangka pula dia pernah pergi mandi sungai.
"Saya ingat dia hanya alami jangkitan demam biasa sebab beberapa hari lepas kami sekeluarga turut demam," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Gong Duek, Hulu Besut di sini pada Selasa.
Menurutnya, Muhamad Amirul Hakim mula tidak sihat sejak Rabu lalu dan keadaannya bertambah buruk pada Isnin.
"Dia ada mengadu muntah bercampur darah, tetapi saya fikir mungkin tekaknya terluka kerana sudah beberapa hari muntah," katanya.
Menurut Mek Jarah, keadaan anaknya bertambah serius sehingga dia dan suami terpaksa membawa ke Unit Kecemasan Hospital Besut pada Isnin.
"Sehari sebelumnya dia telah mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta, namun ketika dirawat di Hospital Besut keadaannya semakin kritikal sebelum disahkan meninggal dunia.
"Saya tidak sangka arwah pergi secepat ini. Beberapa jam sebelum ke hospital, saya sempat menemaninya solat Maghrib di rumah dan berbual dengannya," katanya sayu.
Jenazah Muhamad Amirul selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Duek selepas solat Zohor pada Selasa.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong ketika dihubungi mengesahkan pihaknya masih menjalankan siasatan dan menunggu laporan lanjut berhubung punca kematian mangsa.