Pindah sekolah demi ibu! 'Bila beliau sakit, saya bertanggungjawab untuk menjaganya' - Iman
MARANG - Seorang remaja lelaki sanggup berpindah sekolah semata-mata mahu memastikan sentiasa berada dekat dengan ibunya yang diserang penyakit angin ahmar.
Fiqball Iman Firdaus, 13, berkata, sebelum ini dia tinggal di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ajil, di Hulu Terengganu dan kini bertukar ke SMK Pengkalan Berangan di sini sejak dua minggu lalu.
Dia yang mesra digelar Iman memberitahu, keputusan itu dibuat selepas ibunya, Ramlah Andot, 51, mengalami serangan angin ahmar pada 20 Oktober lalu dan telah dirawat selama seminggu di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.
Menurutnya, kejadian itu menimpa ketika ibunya yang bekerja sebagai pembantu tukang masak berada di dewan makan SMK Ajil.
"Masa hari kejadian saya dan ibu ke klinik. Kami ke situ untuk ambil ubat kerana saya kurang sihat. Waktu di klinik ibu sudah berasa pening, saya sangka keadaan begitu sebab ibu belum bersarapan pagi.
"Apabila balik semula ke asrama, waktu ibu sedang makan dia tiba-tiba senyap dan tidak bergerak. Waktu tu saya sudah berdebar dan mula menangis kerana bimbang perkara buruk berlaku kepada ibu," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Kulim petang Sabtu.
Iman yang merupakan anak tunggal berkata, dia mengambil keputusan untuk tidak ke sekolah dan menjaga ibunya selama tiga hari selepas dimasukkan ke wad biasa.
"Sebenarnya tiada paksaan daripada sesiapa pun supaya saya jaga ibu di wad. Bagi saya, dia satu-satunya ibu dan saya bertanggungjawab untuk menjaganya. Lagipun itu kali pertama ibu sakit teruk, tak pernah terjadi begitu sebelum ini.
"Sepanjang berada di hospital, saya lalui banyak pengalaman baharu. Perasaan saya bercampur ada rasa payah, rasa letih dan gembira pun ada juga sebab boleh jaga ibu.
"Malam-malam sebelum tidur saya rasa sedih dan sebak sebab kasihan kan ibu. Saya berasa takut kalau kehilangan ibu," ujarnya.
Jelasnya, selepas ibunya dibenarkan pulang ke rumah, dia meneruskan rutin membuat kerja rumah seperti membasuh pinggan, menyapu, memakaikan ibunya pakaian, menghidang makanan serta memastikan ibunya makan ubat mengikut jadual.
"Saya bersyukur sebab ibu cepat pulih, sekarang ibu dah boleh bergerak dan berjalan sendiri, cuma tangan sebelah kiri ibu masih belum boleh digerakkan sendiri," kata Iman.
Sementara itu, Ramlah berkata, dia terharu kerana anak tunggalnya itu sanggup tidak ke sekolah semata-mata mahu menjaganya di hospital.
"Iman mula jaga saya di wad biasa selepas tiga hari saya dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSNZ. Waktu tu dia masih lagi bersekolah dan tinggal di asrama SMK Ajil.
"Sekarang sejak saya sakit, Iman sudah tukar sekolah di SMK Pengkalan Berangan dan dia akan berulang alik dari rumah ke sekolah setiap hari bersama bapa saudaranya," jelas Ramlah.
Menurut Ramlah, dia ditahan wad selama hampir seminggu bermula 20 hingga 26 Oktober lalu dan kini meneruskan rawatan dengan abangnya, Abd Aziz Andot, 62.
"Selepas pulang dari hospital, hampir setiap hari abang saya akan urut bahagian yang sakit bagi memastikan saya pulih dengan cepat.
"Biasanya mereka yang diserang angin ahmar agak sukar untuk pulih, namun saya bersyukur kerana dikurniakan kesembuhan dan kini sudah boleh berjalan," katanya.
Ramlah yang berstatus ibu tunggal merupakan anak bongsu daripada 11 beradik.
Menurutnya, sepanjang ditimpa sakit, adik-beradiknya menjaganya secara bergilir-gilir serta akan memastikan semua keperluan termasuk makan minum terurus.
"Saya bersyukur sebab tinggal berdekatan dengan adik-beradik. Setiap hari ada yang datang dan jaga saya terutama ketika Iman ke sekolah.
"Sebelum ke sekolah Iman biasanya akan masak oat dan telur separuh masak. Dia juga akan pastikan saya telah makan, minum dan diberikan ubat," katanya.
Sebelum ini, video Iman menjaga ibunya di wad tular di media sosial selepas dikongsikan oleh seorang pemilik akaun TikTok norasni31.
Sehingga kini, video berdurasi 51 saat yang dikongsikan sejak tiga hari lalu mendapat 3.4 juta tontonan.