Penyelam lengkap berpakaian seragam guru ketika meraikan sambutan Hari Guru di dasar laut di Taman Laut Pulau Perhentian, Terengganu baru-baru ini.
Penyelam lengkap berpakaian seragam guru ketika meraikan sambutan Hari Guru di dasar laut di Taman Laut Pulau Perhentian, Terengganu baru-baru ini.

Sambut Hari Guru di dasar laut

NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
05 May 2023 04:30pm
A
A
A

Koperasi Co-opbank Pertama Malaysia Berhad (CBP) dengan kerjasama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Besut, Terengganu, mempunyai pendekatan tersendiri dalam menyambut Hari Guru tahun ini.

Acara sambutan yang diadakan di dasar laut tersebut melakar sejarah tersendiri apabila diiktiraf The Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai penganjur pertama untuk meraikan sambutan Hari Guru di dasar Taman Laut di Pulau Perhentian, Terengganu, baru-baru ini.

Menurut Guru SMK Kuala Besut, Aznan Abas, sambutan itu direalisasikan oleh 33 penyelam yang terdiri dalam kalangan 15 guru Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) serta kakitangan bank berkenaan.

"Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran keselamatan di dalam air, mengasah kemahiran di dasar laut dan mempromosikan gaya hidup sihat melalui aktiviti rekreasi sukan selam skuba dalam kalangan guru.

"Secara tidak langsung ia dapat memperkenalkan Pulau Perhentian sebagai lokasi selam skuba dan selam snorkeling yang terkenal dan menjadi tarikan ramai di peringkat antarabangsa," katanya.

Pengiktirafan itu disahkan wakil MBOR, Lee Pooi Leng dan majlis sambutan Hari Guru itu disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Abdul Muie Ngah di Pusat Taman Laut, Pulau Perhentian.

Tambah Aznan, terdapat keunikan ditonjolkan ketika aktiviti skuba dijalankan apabila para penyelam memadankan pakaian seragam guru yang lengkap dengan memakai tali leher dan berbaju kemeja.

Sementara itu, Abdul Muie yang turut sama pada program itu berkata, program berkenaan dapat meningkatkan lagi penghargaan kepada golongan pendidik dan mengeratkan hubungan bersama agensi serta komuniti.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ia juga dapat meningkatkan motivasi kepada golongan guru supaya lebih bersemangat dan berdedikasi dalam mendidik anak bangsa.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok