Sentuhan bidikan jurugambar dapat menyimpan pelbagai memori kehidupan manusia.
Sentuhan bidikan jurugambar dapat menyimpan pelbagai memori kehidupan manusia.

Sekeping gambar seribu makna

NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
19 Mar 2023 11:47pm
A
A
A

Sekeping gambar mampu menggarap seribu makna bergantung kepada pemahaman seseorang. Bahkan, bidikan jurugambar dapat menyimpan pelbagai memori kehidupan manusia.

Muhammad Shakir Zufayri Salim berkata, bidang fotografi mempunyai sisi istimewa kerana dapat merakam detik gembira sehingga dijadikan sebagai kenangan sepanjang hayat.

Pelajar Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur (SSeMKL) itu memberitahu, dia mula mengenali bidang fotografi seawal usia 11 tahun.

“Begitupun, saya mula memegang kamera ketika usia mencecah 12 tahun. Bapa seorang jurugambar malah saya kerap mengikuti dia bertugas merakam gambar perkahwinan dan majlis graduasi.

“Apa yang menarik tentang bidang fotografi ini, setiap kali ikut bapa, saya berpeluang melihat pelbagai riak wajah insan-insan menghadiri majlis tersebut,” ujarnya.

Muhammad Shakir menjelaskan, dia sangat teruja apabila setiap kali hasil karya imej pegun yang dirakam mampu mengukir senyuman pemilik gambar berkenaan.


Muhammad Shakir Zufayri
Muhammad Shakir Zufayri

Dia yang kini berusia 17 tahun memberitahu, senario itu tidak ternilai kerana dengan sekeping gambar ia dapat menyentuh hati seseorang.

Artikel Berkaitan:

“Sukar diungkapkan dengan kata-kata perasaan tersebut kerana ia sesuatu yang sangat istimewa.

“Selain melihat mereka tersenyum, ada juga yang menitiskan air mata kerana terlalu gembira terutama ketika majlis perkahwinan ataupun graduasi.

“Saya puas melihat senario tersebut kerana ia menunjukkan hanya dengan sekeping gambar yang dirakam, ia mampu memberi impak kepada mereka yang melihatnya,” tuturnya.

Anak tunggal itu menambah, dia banyak mempelajari seni fotografi termasuk aspek teknikal daripada bapa untuk merakam gambar-gambar menarik.

Katanya yang menggunakan kamera Nikon D7000, antara aspek teknikal yang dipelajari ialah komposisi, apertur, kelajuan shutter dan pelbagai lagi.

“Selain itu, saya diberi pendedahan mengenai komunikasi dengan baik apabila berkecimpung dalam bidang fotografi ini.

“Komunikasi sangat penting apabila berdepan dengan orang ramai ketika majlis perkahwinan ataupun graduasi untuk memastikan dapat merakam gambar terbaik,” ujarnya.

Muhammad Shakir Zufayri berharap akan dapat terus berkarya untuk melihat lebih banyak riak wajah manusia dalam kegembiraan.

4 fakta menarik tentang fotografi

Pada 1975, Steve Sasson yang bekerja di syarikat terkemuka Kodak telah membangunkan kamera digital pertama.

Kamera digital pertama hanya didatangkan dengan 0.01 megapiksel dan mempunyai berat 3.6 kilogram (kg).

Salah satu imej terkenal pada abad ke-20 merupakan Gadis Afghanistan yang dirakam pada 1984 dan diterbitkan dalam majalah National Geographic tahun berikutnya.

Wallpaper Windows XP merupakan antara gambar paling banyak dilihat dalam sejarah fotografi.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok